Kerajaan negeri tiada kuasa tentukan kuota penebangan balak

Mohd Amar ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada Khamis.
Mohd Amar ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa menentukan kuota penebangan balak di setiap negeri, sebaliknya kegiatan tersebut dilakukan mengikut perkara yang termaktub di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setiap kegiatan penebangan balak mempunyai prosedur tersendiri terutama ia perlu mendapat kelulusan daripada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Penebangan ada prosedurnya, perlu ada lesen, bukan tebang ikut suka. Ada teknik-teknik penebangan yang mana tidak akan menjejaskan pokok. Kalau penebangan berkenaan melanggar syarat ditetapkan, ia boleh dikenakan tindakan termasuk denda dan kegiatan dihentikan.

"Cuma ada sesetengah kes berlaku pembalakan haram. Kita tidak nafikan, memang ada berlaku sebab pembalakan haram ini tidak terikat dengan peraturan. Itu yang menjadi masalah. Ia dihadapi di seluruh negara," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan lebih 200,000 individu yang menandatangani petisyen digerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) bagi menggesa kerajaan mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, mereka yang mengeluarkan petisyen berkenaan mungkin tidak memahami dengan jelas prosedur diperlukan untuk setiap aktiviti penebangan balak dalam negara.

Malah, katanya, tindakan mengaitkan isu pembalakan sebagai punca atau sebab berlakunya fenomena banjir adalah tidak tepat dan mentaliti pemikiran negatif berkenaan perlu diubah.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, setiap pokok di dalam hutan mempunyai tempoh tertentu untuk hidup dan perlu ditebang berdasarkan keperluan untuk menjaga alam sekitar, dengan syarat ia ditanam kembali selepas ditebang.

"Jika tidak ditebang, pokok-pokok berkenaan boleh menjejaskan pertumbuhan kayu-kayu lain, selain berisiko untuk tumbang dan sebagainya.

"Kita di Kelantan memang akan menghentikan aktiviti pembalakan pada Oktober hingga Disember sebab hujan. Balak yang dibawa keluar pun melibatkan balak yang telah disimpan di Beta (tempat simpan balak) sebelum ini," jelas beliau.