Aktiviti pengusahasilan hutan, angkut balak dihenti sementara: JPNP

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan telah mengeluarkan arahan supaya memberhentikan sementara operasi pengusahasilan hutan dan pengeluaran kayu dari matau di Pahang bermula Isnin susulan banjir.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, arahan itu dikeluarkan melalui satu surat pekeliling kepada pegawai JPNP.

"Surat itu (pekeliling) adalah edaran dalaman untuk pegawai saya. Mereka diminta supaya memastikan tiada pelanggaran terhadap arahan ini.

"Arahan itu juga untuk menjaga keselamatan kakitangan JPNP, pekerja pembalakan dan pengguna jalan raya kerana musim banjir ini boleh mendatangkan bahaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah portal mendedahkan pihak JPNP telah mengeluarkan satu surat bertajuk 'Arahan penangguhan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengangkutan kayu balak semasa musim tengkujuh dan bencana banjir tahun 2022'.

Surat pekeliling yang dikeluarkan Mohd Hizamri seperti berikut:

"Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengambil keputusan untuk memberhentikan sementara operasi pengusahasilan hutan dan pengeluaran kayu dari matau di Negeri Pahang bermula 3 Januari 2022 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Justeru itu, pihak tuan adalah dipohon untuk mengambil tindakan segera bagi penangguhan sementara ini bagi mengurangkan impak terhadap kawasan usahasil dan keselamatan pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan yang sewajarnya akan diambil kepada pemegang lesen yang melanggar arahan ini dan boleh disabitkan kesalahan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984," menurut surat itu.