Tindakan tangguh umrah wajar: Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan penangguhan ibadah umrah disifatkan sebagai wajar terutamanya dunia masih bergelut dengan pelbagai varian Covid-19.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, selain faktor Covid-19, keputusan penangguhan itu juga dianggap satu tindakan yang betul susulan beberapa buah negeri telah dilanda musibah banjir.

Oleh itu katanya, adalah lebih baik keutamaan diberikan kepada usaha membantu memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.

"Pelbagai pihak menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan untuk mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Januari ini.

"Keputusan ini dianggap wajar terutama untuk melindungi jemaah umrah daripada jangkitan varian Omicron yang aktif pada waktu ini.

"Selain itu, dalam keadaan sekarang yang mana rakyat negara ini mengalami kesukaran hidup selepas bencana banjir baru-baru ini, maka keutamaan amat wajar diberikan kepada usaha membantu memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, walaupun ada beberapa ulama bersepakat menyatakan kelebihan ibadah umrah, dari sudut lain, umat Islam digalakkan untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan.

"Walaupun mereka (para ulama) mempunyai pandangan yang berbeza tentang hukum antara wajib atau sunat yang digalakkan (mustahabbah), namun dari sudut lain, umat Islam juga digalakkan malah boleh menjadi (hukum) wajib untuk membantu saudaranya yang susah.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya tiada percanggahan antara dua kewajipan ini. Kedua-duanya penting dan masing-masing ada kelebihannya.

Cuma dilihat dari segi keutamaan atau ‘aulawiyyat’ dalam situasi terkini di Malaysia, maka usaha membantu mangsa bencana banjir amat wajar didahulukan daripada menunaikan ibadah umrah.

"Tambahan lagi bagi mereka yang pernah menunaikan ibadah ini, mereka seeloknya mengutamakan bantuan kepada mangsa banjir. Ini kerana, ibadah umrah hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup," katanya.

Beliau menambah, amalan atau kebajikan yang manfaatnya melampaui pelakunya kepada orang lain adalah lebih memberi pahala dan lebih disukai ALLAH SWT daripada amalan yang manfaatnya terhad kepada diri pelakunya sahaja.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta umat Islam khususnya golongan kaya-raya supaya merebut pahala lumayan yang dijanjikan ALLAH SWT kepada mereka yang membantu saudaranya yang dalam kesusahan.

"Hulurkan bantuan sebanyak mana perbelanjaan yang digunakan untuk ke tanah suci dalam membantu saudara-saudara kita yang terjejas kehidupan mereka akibat bencana alam, insya-ALLAH akan diberi ganjaran pahala berganda daripada-Nya di akhirat nanti," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengumumkan keputusan itu berkata, larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, umat Islam di Malaysia perlu mendapat penjelasan lanjut tentang keperluan menangguh ibadah berkenaan dari sudut hukum fiqah supaya tidak berlaku salah faham.

Tambahnya, hakikatnya tiada mana-mana pihak yang menghalang mereka untuk ke tanah suci bagi melaksanakan ibadah berkenaan.