Keadaan banjir di lima negeri bertambah baik

Penduduk Kampung Pogoh kini terkandas akibat terputus hubungan jalan dengan Kampung Seberang Batu Badak di Kampung Seberang Batu Badak, pada RABU.
Penduduk Kampung Pogoh kini terkandas akibat terputus hubungan jalan dengan Kampung Seberang Batu Badak di Kampung Seberang Batu Badak, pada RABU.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di lima negeri menunjukkan perkembangan lebih baik malam ini, apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun kepada 10,065 orang berbanding seramai 11,469 orang petang tadi.

Sementara jumlah mangsa banjir di Selangor pula dilaporkan masih sama.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 468 mangsa daripada 126 keluarga pada pukul 8 malam ini, berbanding 543 orang daripada 140 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan mangsa banjir terus berkurangan malam ini dengan 1,491 orang ditempatkan di 30 pusat pemindahan, berbanding 1,811 orang di 33 PPS petang tadi.

Kesemua mangsa melibatkan 454 keluarga itu ditempatkan di PPS Bera, Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh, manakala PPS di Kuantan telah ditutup malam ini.

Selain itu, beberapa jalan kekal ditutup antaranya Jalan Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan sungai yang melebihi paras bahaya malam ini masih Sungai Bera dan Sungai Serting kedua-duanya di Bera, selain Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.

Artikel Berkaitan:

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 589 individu membabitkan 148 keluarga, dengan enam PPS dibuka setakat malam ini berbanding 826 individu (213 keluarga) pada petang tadi.

Di JOHOR, mangsa banjir terus menurun kepada 4,253 orang setakat 8 malam ini berbanding 4,942 orang petang tadi dengan penutupan enam lagi PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan dalam kenyataan malam ini berkata, empat PPS ditutup di Segamat manakala dua lagi masing-masing di Mersing dan Muar, menjadikan 64 PPS masih beroperasi di enam daerah.

Segamat masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 2,622 orang di 38 PPS, diikuti dengan Tangkak seramai 650 orang, Mersing (467), Muar (333), Kluang (128) dan Batu Pahat (53).

Sementara itu, tiga sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, setakat pukul 9 malam ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini juga turun walaupun tidak banyak berubah dengan 3,264 mangsa daripada 1,341 keluarga masih di PPS malam ini, berbanding 3,347 orang daripada 1,319 keluarga petang tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, satu PPS iaitu Dewan Kampung Kiabau di Telupid telah ditutup dan 27 PPS masih dibuka di lima daerah terjejas banjir terletak di utara serta pantai timur di negeri ini.

Daerah Kota Marudu kekal mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (319 mangsa, 120 keluarga, 4 PPS), Telupid (173 mangsa, 43 keluarga, 6 PPS), Sandakan (45 mangsa, 7 keluarga, 1 PPS) dan daerah kecil Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, 2 PPS).

Di SELANGOR pula, menerusi aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 40 orang, melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini ditahap bahaya iaitu pada ketinggian 4.79 meter dalam trend menaik, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat di tahap waspada (3.43 meter) setakat 8.30 malam tadi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya memaklumkan, sehingga hari ini, sebanyak 11,481 keluarga telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan peruntukan RM11.531 juta. - Bernama