KPDNHEP Temerloh periksa 12,957 premis sepanjang 2021

Abdul Razak (kiri) semasa pemeriksaan bekalan bersama Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam (kanan) di sebuah pasar raya di Temerloh.
Abdul Razak (kiri) semasa pemeriksaan bekalan bersama Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam (kanan) di sebuah pasar raya di Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Temerloh telah memeriksa sebanyak 12,957 premis melibatkan pelbagai operasi dan arahan semasa sepanjang tahun lalu.

Ketua Cawangan KPDNHEP Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, sebanyak 155 tindakan kes diambil dengan jumlah rampasan sebanyak RM162,151.58.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 93 kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan 27 kes di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

"Seterusnya sebanyak 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sembilan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, tujuh kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 manakala empat kes di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, selain daripada kes di bawah perundangan yang dikuatkuasakan, KPDNHEP Cawangan Temerloh telah mengambil sebanyak lima tindakan kes di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara.

Ujarnya lagi, penguatkuasaan KPDNHEP cawangan tersebut juga telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM101,000 kepada peniaga yang melanggar perundangan dan akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

"Sepanjang tahun lalu, pihak KPDNHEP Cawangan Temerloh telah menerima sejumlah 167 aduan daripada pengguna dan kesemua aduan tersebut telah disiasat berdasarkan kepada perundangan sedia ada yang dikuatkuasakan oleh pihak kementerian," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak memberitahu, cawangan itu berjaya menyelesaikan kes tertunggak di bawah Ops Rampung 2.0 bagi tahun 2019 dan 2020 dengan pencapaian 100 peratus setelah selesai siasatan serta dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!