Zarinah Anwar wanita pertama dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UM

Zarinah Anwar - Foto theedgemarkets
Zarinah Anwar - Foto theedgemarkets
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Zarinah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah wanita pertama Universiti Malaya (UM) yang berkuat kuasa 13 Disember lepas, untuk tempoh tiga tahun.

Universiti Malaya dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelantikan itu dibuat menerusi surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 10 Disember lalu, selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) (a) Perlembagaan Universiti Malaya (Pengerusi).

Menurut kenyataan itu, Zarinah yang merupakan alumni Fakulti Undang-Undang UM, juga tokoh korporat terkenal dengan menggalas jawatan penting termasuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Petroliam Nasional Berhad sejak 17 Ogos 2015.

Selain itu beliau turut memegang jawatan Pengerusi Debt Ventures Berhad Malaysia, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pemegang Amanah Razak School of Government, Yayasan Hasanah dan Yayasan Jeffrey Cheah.

“Di pentas dunia, beliau ialah Felo Abdullah bin Abdulaziz di Oxford Centre for Islamic Studies United Kingdom, ahli Lembaga Penasihat Pihak Berkuasa Sekuriti dan Komoditi Emirates, Emiriah Arab Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Beliau merupakan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), ahli Majlis Penasihat Akademik Universiti Teknologi Petronas, serta turut berkhidmat sebagai ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan mengenai Wanita.

Di samping itu, Zarinah juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Timbalan Pengerusi Shell Malaysia.

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, universiti itu mengalu-alukan pelantikan tersebut memandangkan Zarinah merupakan individu yang tidak asing dalam bidang korporat.

Artikel Berkaitan:

“Semoga dengan pelantikan Tan Sri Zarinah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya akan terus membawa Universiti Malaya sebagai universiti berbakti untuk negara, memberi impak pada dunia,” kata Mohd Hamdi. - Bernama