Enam warga Afrika terlibat sindiket Love Scam ditahan

Abdul Majid menunjukkan enam individu warga Afrika yang ditahan terbabit dalam 'Love Scam' pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Rabu.
Abdul Majid menunjukkan enam individu warga Afrika yang ditahan terbabit dalam 'Love Scam' pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Enam warga Afrika ditahan polis kerana disyaki terbabit sindiket penipuan 'Love Scam' serta kiriman bungkusan membabitkan nilai kira-kira RM118,000.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun yang terperdaya dengan janji manis suspek dikenali sebagai Davis pada 20 November lalu.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan barangan kemas dan wang tunai bernilai RM331,168 sebelum membuat pemindahan wang sebanyak RM117,759.

"Susulan itu, pasukan polis menahan suspek dalam dua serbuan berasingan di Puchong, Selangor pada 30 Disember lalu.

"Semakan mendapati kesemua mereka ini tidak bekerja dan dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Ayer Keroh dekat sini pada Rabu.

Abdul Majid berkata, kumpulan penjenayah itu juga disyaki terbabit dalam dua kes lain menggunakan modus operandi.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

"Mangsa berkenalan dengan suspek melalui media sosial Facebook sebelum berhubung menggunakan WhatsApp dan dijanjikan akan menghantar hadiah serta wang.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bagaimanapun diminta membuat beberapa transaksi pembayaran kononnya sebagai caj pelepasan oleh pihak kastam untuk mendapatkan bungkusan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati nombor akaun digunakan suspek adalah milik seorang wanita tempatan berusia 50-an dari Melaka.

"Siasatan terhadap pembabitan wanita itu sedang dijalankan dan disyaki menjalinkan hubungan dengan seorang daripada ahli kumpulan tersebut.

"Polis turut merampas beberapa barangan, antaranya komputer riba, telefon bimbit dan bungkusan pos laju," jelas beliau.

Tambah beliau, kesemua mereka direman sehingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.