KKM siasat laporan 18 kes AEFI libat banduan Penjara Kajang

NPRA mengesahkan menerima laporan berkenaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Banduan Penjara Kajang. - Foto Bernama
NPRA mengesahkan menerima laporan berkenaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Banduan Penjara Kajang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesahkan menerima laporan yang dinyatakan dalam surat daripada Penjara Kajang yang tular di media sosial berkenaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Banduan Penjara Kajang.

Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani dalam kenyataan pada Selasa berkata, laporan AEFI yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk melibatkan kematian dalam proses penyiasatan.

"Pada masa yang sama, siasatan juga telah dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat lengkap.

"Laporan siasatan akan dibentangkan untuk dinilai Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) bagi mengesahkan kausaliti atau hubungkait antara vaksin dengan kesan advers yang dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui NPRA memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

KKM akan memaklumkan situasi semasa laporan kepada umum dari masa ke masa. - Bernama

Artikel Berkaitan: