SMA Al Hanafiah dijadikan sekolah zakat keempat

Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Suka Menanti merupakan sekolah zakat pertama LZNK yang menempatkan anak-anak asnaf dan miskin. Gambar kecil: Syeikh Zakaria
Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Suka Menanti merupakan sekolah zakat pertama LZNK yang menempatkan anak-anak asnaf dan miskin. Gambar kecil: Syeikh Zakaria
A
A
A

ALOR SETAR - Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Hanafiah, Malau, Kulim akan dikenali sebagai Maahad Dini Sultan Abdul Halim cawangan Kulim selepas diambil alih oleh pengurusan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, SMA Al Hanafiah akan dinaik taraf dan dijadikan sekolah zakat keempat di negeri ini bagi memastikan pelajar miskin dapat meneruskan pengajian dengan sempurna.

Menurutnya, proses menaik taraf sekolah itu dianggarkan mencecah RM1.7 juta dan dijangka beroperasi tahun hadapan dengan menyasarkan seramai 200 pelajar.

“Sebelum ini, sekolah tersebut terbiar hampir 10 tahun dengan bangunan tiga tingkat yang boleh memuatkan 300 pelajar.

"Amat merugikan sekiranya bangunan itu terbiar dan LZNK mengambil inisiatif menjenamakan semula kepada sekolah zakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, terdapat tiga buah sekolah zakat yang beroperasi sejak 2018, iaitu Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Suka Menanti dan cawangan di Belantik, Sik selain Tahfiz Ulul Albab Zakat di Mergong.

Tambah beliau, keseluruhan pelajar membabitkan keluarga fakir dan miskin dan semua kos mereka ditanggung sepenuhnya oleh LZNK,” katanya.

Syeikh Zakaria berkata, LZNK menyasarkan untuk membina sebuah sekolah zakat di setiap daerah secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, kita memiliki lebih 300 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima yang kebanyakannya miskin, asnaf dan orang asli,” katanya.

Menurutnya, selain tiga sekolah zakat sedia ada, Kolej Agama Sultan Abdul Halim di Sik turut dikelolakan LZNK.

“Kita ambil alih sekolah yang miskin atau terbengkalai dan menaik taraf untuk menempatkan pelajar miskin yang dikenal pasti.

“Selepas dinaik taraf, kita mohon sekolah berkenaan dikategorikan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Gaji guru dibayar oleh KPM termasuk pentadbiran dan kurikulum, LZNK pula menguruskan pemilihan pelajar,” katanya.

Tambah Syeikh Zakaria, kolej berkenaan kini sudah beroperasi selama tiga tahun.