RUU wajib sekolah menengah akan bentang di Parlimen

Fadhlina (dua dari kiri) bermesra dengan pelajar di Sekolah K9 SK Pulau Beluru, Tumpat.
Fadhlina (dua dari kiri) bermesra dengan pelajar di Sekolah K9 SK Pulau Beluru, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Rang Undang-undang (RUU) bagi mewajibkan rakyat Malaysia mendapat pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah akan dibentangkan di Parlimen.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam proses dan tindakan pihak kementeriannya yang mungkin mengambil lebih masa.

Menurutnya, langkah serius itu amat penting dalam menangani masalah keciciran pelajaran di samping program-program intervensi lain oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu berkenaan.

“KPM tak defensif terhadap isu ini dan ada kebimbangan. Sebab itu akan ada RUU tersebut tetapi sebelum itu perlu melalui turutan-turutan tertentu.

“Kami jalankan intervensi dan memberi komitmen tinggi dalam bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, komuniti serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru sebagai Sekolah Komprehensif Sembilan (K9) di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Guru Besar SK Pulau Beluru, Mohd Azman Husain.

Fadhlina (kiri) merasmikan Sekolah K9 SK Pulau Beluru.
Fadhlina (kiri) merasmikan Sekolah K9 SK Pulau Beluru.

Fadhlina berkata, Sekolah K9 juga antara inisiatif dalam menangani isu itu dengan memastikan anak-anak disediakan kemudahan pendidikan di peringkat sekolah untuk tempoh Tahun Satu sehingga Tingkatan Tiga.

“SK Pulau Beluru ialah projek ataupun model khas pertama di Kelantan dipilih kerana ibu bapa pelajar yang terbeban kos pengangkutan anak-anak mencecah lebih RM30 sehari kerana perlu menaiki bot menyeberangi sungai dan bas untuk sampai ke sekolah menengah di tanah besar.

“Sehingga kini, ada 16 sekolah K9 di seluruh negara termasuk di Pahang, Selangor dan Sarawak,” jelasnya.

Fadhlina (kanan) melawat pelajar tingkatan satu di SK Pulau Beluru.
Fadhlina (kanan) melawat pelajar tingkatan satu di SK Pulau Beluru.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat keperluan dari semasa ke semasa untuk menambah bilangan Sekolah K9 terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Untuk rekod, setakat ini Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran sekolah rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.