Tangguh umrah: Banyak pengendali tutup semula operasi

Harun semasa sidang media pada Isnin.
Harun semasa sidang media pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penangguhan sementara ibadah umrah mengakibatkan banyak pengendali ibadah itu terpaksa menutup semula operasi perniagaan kerana gagal membayar tuntutan kepada jemaah umrah.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun Kc Ahmmu berkata, keputusan itu menjadikan syarikat berkaitan umrah berisiko untuk tidak mendapat pulangan tuntutan semula pembatalan atau penangguhan tiket penerbangan, tempahan hotel dan caj visa umrah dari pihak muassasah Arab Saudi.

“Tiket penerbangan, bayaran hotel penginapan dan caj pembayaran visa umrah telah dibayar sebelum keberangkatan jemaah umrah ke tanah suci dan perlu ditanggung oleh pengendali," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar berkaitan implikasi kerugian yang ditanggung oleh jemaah dan pengendali umrah akibat penangguhan sementara yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada Sabtu, kerajaan membuat keputusan menangguhkan sementara ibadah umrah bermula 8 Januari sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan penangguhan itu bagi membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

Harun bagaimanapun memberitahu, Bumitra sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan KKM dalam usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

“Ia bertujuan memberi peluang dan harapan kepada jemaah umrah dan pengendali bagi mengelakkan kerugian lebih besar dari segi kewangan yang perlu ditanggung dan tekanan emosi jemaah.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga merayu MOTAC dan KKM menjalankan kajian yang lebih terperinci demi kepentingan rakyat dalam usaha memberi peluang jemaah melakukan ibadah tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung Bumitra, Ab Rahman Mohd Ali berkata, anggaran kasar kerugian yang ditanggung syarikat itu sebanyak RM210 juta apabila 30,000 jemaah umrah ditangguhkan sehingga April 2022.

“Kerugian membabitkan RM7,000 seorang dan sebanyak 80 peratus daripada jumlah itu ditanggung jemaah sendiri,” katanya.