JPS siasat dakwaan siren amaran banjir tidak berfungsi: MB

Aminuddin (kanan) ketika sidang akhbar di Kampung Chuah, Port Dickson.
Aminuddin (kanan) ketika sidang akhbar di Kampung Chuah, Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan akan menyiasat segera dakwaan penduduk di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas berhubung siren amaran banjir yang dipasang tidak berfungsi dalam kejadian banjir di kawasan itu Sabtu lepas.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menafikan hujan pada Sabtu lepas agak lebat sehingga amaran siren tidak dapat didengar sama seperti keadaan di Ampangan, Seremban.

Menurut Aminuddin, pada hari pertama kejadian beliau berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah sehingga jam 2 pagi dan melihat sendiri keadaan yang berlaku.

"Bagaimana pun, kita akan teliti perkara tersebut (siren tidak berbunyi) dan meminta JPS menyiasat serta menambah keperluan meningkatkan bunyi siren di beberapa daerah di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada lapan penduduk Kampung Chuah di sini pada Isnin.

Menurut Amiruddin, pada tahun ini kerajaan negeri juga merancang menambah siren tersebut terutama di kawasan berisiko banjir.

Sementara itu berdasarkan maklumat JPS negeri, sebanyak 22 stesen siren amaran banjir di pasang di kawasan yang berisiko bagi membolehkan penduduk setempat menyelamatkan diri dan harta benda dengan segera.

Memetik laporan Awani pada Ahad, penduduk kecewa apabila sistem amaran siren banjir di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas gagal berfungsi sehingga memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.

Mengulas mengenai banjir, Aminuddin berkata, sehingga jam 8 pagi Isnin seramai 2,037 mangsa banjir daripada 552 keluarga membabitkan empat daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut daerah Tampin merekodkan jumlah yang tertinggi iaitu 1,400 mangsa dengan 396 keluarga," katanya.

Mengenai laluan ke Stesen Pemancar Gunung Telapak Buruk, Jelebu, Aminuddin berkata, ia belum boleh dilalui untuk semua kenderaan susulan tanah runtuh dan kerja baik pulih sedang dilakukan secara berperingkat dan laluan tidak melibatkan penempatan penduduk.