SPRM siasat dakwaan rasuah babitkan Petronas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka fail siasatan terhadap isu rasuah melibatkan projek Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu melibatkan pemberian projek Petronas bernilai RM399 juta di Sarawak kepada syarikat luar negara yang didakwa disekat oleh beberapa negara akibat rasuah.

SPRM berkata, dalam siasatan itu pihaknya menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja dipercayai berkaitan pemberian tender projek berkenaan.

"Berhubung dakwaan terdapat perbuatan rasuah melibatkan projek Petronas dan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa yang disiarkan di sebuah portal baru-baru ini, SPRM mengesahkan telah membuka fail siasatan terhadap isu berkenaan.

"Dalam siasatan melibatkan projek bernilai RM399 juta di Sarawak tersebut, pihak Petronas telah memberi kerjasama penuh dengan pihak SPRM," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sehubungan itu, menurutnya, suruhanjaya telah mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan.

Tambahnya, SPRM turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat baharu berhubung isu itu untuk tampil membantu siasatan selanjutnya di bawah Akta SPRM 2009.