172 kes jangkitan VOC dikesan

Kes baharu positif Covid-19 varian VOC dan VOI tempatan dan import.
Kes baharu positif Covid-19 varian VOC dan VOI tempatan dan import.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 172 kes jangkitan membabitkan varian membimbangkan (VOC) dalam tempoh 25 Disember lalu sehingga Ahad.

Daripada jumlah itu, 170 kes membabitkan varian Delta, manakala dua kes varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) adalah sebanyak 5,480 kes.

Menurutnya, daripada jumlah yang dikesan tersebut, 5,460 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI.

“Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) telah mengenal pasti 107 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta, manakala Institut Farmakogenomik Integratif (iPROMISE) telah mengenal pasti 40 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta.

“23 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta telah dikesan Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI), sementara Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) telah mengenal pasti dua kes baharu yang kedua-duanya adalah varian Omicron,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya sehingga kini, bagi VOC sebanyak 5,151 kes varian Delta, diikuti 233 kes varian Beta; 64 kes varian Omicron dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya.

Artikel Berkaitan: