Anggota polis bantu kawal keadaan banjir di Kota Tinggi

Anggota polis memantau keadaan di lokasi runtuhan tebing tanah di kawasan Taman Perumahan Bukit Pelali Pengerang.
Anggota polis memantau keadaan di lokasi runtuhan tebing tanah di kawasan Taman Perumahan Bukit Pelali Pengerang.
A
A
A

KOTA TINGGI - Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengawal keadaan banjir di daerah tersebut, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, terdapat dua lokasi penempatan dinaiki air iaitu Kampung Mawai Baru dan Kampung Bukit Raja Darat, Bayu Damai.

Katanya, Pusat Pemindahan Sementara ( PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia dan Sekolah Kebangsaan Mawai dengan jumlah keseluruhan mangsa ditempatkan seramai 104 orang.

"Banjir yang berlaku menyebabkan Jalan Lok Heng dekat Sungai Semalok dibenarkan kepada kenderaan berat sahaja.

"Sementara laluan lain yang dinaiki air iaitu Jalan Kota Tinggi- Mersing (Lembaga Getah Malaysia(LGM); Sungai Mupur Dua; Risda, Sungai Ara Yatamacity); Jalan Tanjung Sedili (Kampung Selangi); Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) dan Jalan Perani ( Ladang Fima) masih boleh dilalui oleh semua kenderaan," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Menurut Hussin, satu kejadian runtuhan tebing tanah berketinggian 105 meter berlaku di kawasan Taman Perumahan Bukit Pelali Pengerang pada kira-kira jam 1 tengah hari Ahad.

"Ia merupakan kejadian berulang pada Januari 2021. Susulan daripada kejadian sebelum ini, pihak pemaju melantik sebuah syarikat bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan cerun.

"Jabatan Kerja Raya ( JKR) sedang menjalankan siasatan migitasi di tempat kejadian. Bagaimanapun kejadian ini tidak melibatkan sebarang kerosakan dan kecederaan kepada penduduk setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihaknya turut menasihatkan penduduk mengikuti arahan pasukan penyelamat sekiranya diminta berpindah ke PPS untuk keselamatan diri dan keluarga.