Suami Heliza Helmi didakwa berniaga sekuriti tanpa lesen

Mahadi
Mahadi
A
A
A

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Pengasas AUF MBZ Consortium PLT (AUF MBZ), Datuk Mahadi Badrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen yang sah.

Mahadi Badrul Zaman, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, suami kepada penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi itu, sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT didakwa menjalankan perniagaan sekuriti sedangkan syarikat berkenaan bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal serta tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah vila di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama Subseksyen 367(1) akta sama serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta berkenaan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes ini dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Danial Imran Nasaruddin manakala Mahadi diwakili peguam, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus.

Mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!