Tukar status kepada Ladang Hutan punca hutan simpan digondol

Ribuan kayu balak terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong selepas kejadian banjir pada 18 Disember lalu. Gambar kecil: Fuziah
Ribuan kayu balak terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong selepas kejadian banjir pada 18 Disember lalu. Gambar kecil: Fuziah
A
A
A

KUANTAN - Penukaran status kepada Ladang Hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di daerah Bentong didakwa menjadi punca beberapa kawasan hutan di sekitar Sungai Kerau dan Sungai Telemong digondol.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, penukaran status mengikut perundangan itu membenarkan pelesen menebang dan mengeluarkan balak bagi tujuan pembersihan hutan sesuai dengan statusnya sebagai Ladang Hutan.

Sehubungan itu, katanya, kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhubung tiada aktiviti pembalakan dikesan itu bukan satu penipuan.

"JPNP tidak cakap bohong kerana betul tiada kelulusan pembalakan, tetapi pihak JPNP dan kerajaan Pahang perlu menerangkan secara tepat berapa banyakkah kawasan hutan telah ditukarkan status kepada Ladang Hutan?

"Perkara ini JPNP dan kerajaan Pahang perlu dedahkan, apabila status itu ditukar (Ladang Hutan) mereka boleh bersihkan kawasan hutan itu.

"Jadi, kita ingin tahu berapa hektar HSK telah diluluskan untuk dijadikan Ladang Hutan oleh kerajaan Pahang di seluruh negeri ini?" soalnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, JPNP mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau haram di dalam Hutan Simpan Lentang, Bentong.

Pengarah JPNP Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin bagaimanapun berkata, sebaliknya kejadian itu berpunca daripada kepala air di dua lokasi iaitu di Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong yang bermula di Hutan Simpan Kekal Lentang susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, penukaran status kepada Ladang Hutan itu boleh diandai sebagai satu 'silap mata' bagi mengeluarkan hasil hutan bukan atas lesen pembalakan.

Beliau menjelaskan, aktiviti pembalakan tidak boleh dilakukan di kawasan HSK, tetapi penukaran status terbabit kepada Ladang Hutan akan menghalalkan penebangan balak.

"Ladang Hutan ini tidak dikira sebagai aktiviti pembalakan, tetapi melibatkan proses untuk membersihkan kawasan hutan dan lazimnya mereka memotong dan mengambil balak seterusnya menggondolkan bukit.

"Selepas itu, mereka akan menanam kawasan hutan itu dengan pelbagai tanaman seperti pokok sawit, gaharu dan sebagainya.

"Bagaimanapun, ada juga projek Ladang Hutan terbengkalai di Pahang selepas balak diambil dan kawasan tersebut terus gondol,“ katanya.