Pemain Thailand tidak meriahkan STL

Naphom terpaksa menarik diri daripada menyertai Penang Black Panthers dalam STL 2022.- Foto FB STL
Naphom terpaksa menarik diri daripada menyertai Penang Black Panthers dalam STL 2022.- Foto FB STL
A
A
A

EMPAT pemain sepak takraw Thailand tidak akan menyertai saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang bakal membuka tirainya pada 7 Januari ini.

Keputusan tersebut dibuat oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) susulan notis amaran yang dikeluarkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pada 25 Disember lalu yang melarang pemainnya mewakili mana-mana pasukan di kejohanan tersebut.

Dalam satu surat balas kepada ASTAF, Setiausaha Agung TAT, Tanawat Prasongcharoen memaklumkan, dua pemain yang kini bersama Kelab Sepak Takraw Tentera Laut iaitu Swatbanchan Seekhwa dan Aekasit Naphom tidak akan menyertai STL 2022.

Selain dua pemain itu, Prasongcharoen turut memaklumkan Anuwat Sombatdee dan Kupithat Khatmimalan turut menarik diri daripada kejohanan tersebut dan kesemua pemain memahami arahan dikeluarkan badan induk Asia itu.

“Kami ingin memaklumkan kepada ASTAF bahawa wakil kelab Kelab Sepak Takraw Tentera Laut sudah mengesahkan bahawa dua pemain mereka Seekhwa dan Naphom tidak akan menyertai STL 2022.

“Selain mereka berdua, kami juga mengesahkan Sombatdee dan Khatmimalan akan menarik diri daripada kejohanan berkenaan.

“Kesemua empat pemain Thailand ini sangat memahami kenapa mereka tidak boleh menyertai STL 2022 sebagai pemain luar. Persatuan Sepak Takraw Thailand akur dengan peraturan serta undang-undang dan juga perlembagaan ASTAF,” katanya.

Sebelum ini, ASTAF dalam satu kenyataan menasihati empat pemain sepak takraw dari Thailand supaya tidak menyertai STL yang bakal dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), pada Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya ingkar, TAT boleh menerima hukuman penggantungan maksimum sehingga seumur hidup atau didenda ASD10,000 (RM41,951) atau kedua-duanya sekali.