KASA tambah baik sistem siren, CCTV banjir

Ismail Sabri (kiri) mendengar penerangan mengenai sistem ramalan dan amaran banjir pada lawatan kerja ke Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Kompleks Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Ampang, Kuala Lumpur. -Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) mendengar penerangan mengenai sistem ramalan dan amaran banjir pada lawatan kerja ke Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Kompleks Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Ampang, Kuala Lumpur. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menambah baik sistem siren dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memberi amaran kenaikan paras air pada tahap bahaya kepada orang ramai agar mereka dapat berpindah lebih awal sebelum bencana banjir berlaku.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, sistem siren akan dilengkapi dengan amaran suara untuk mengarahkan masyarakat segera berpindah manakala CCTV pula dapat memberi imej paras air semasa kepada orang ramai.

"Perdana Menteri meminta kita tingkatkan sistem pemberitahuan amaran banjir kepada penduduk agar mereka sentiasa bersedia untuk berpindah jika paras air berada pada paras bahaya.

"Dengan sistem siren sedia ada, mungkin ada orang keliru dengan bunyi siren ambulans jadi sistem baharu ini semua ada suara," katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di sini, pada Jumaat.

Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira lebih sejam mendengar taklimat mengenai fungsi PRABN.

Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, sistem siren bersuara itu sudah digunapakai di beberapa kawasan seperti di Jeli, Kelantan namun Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam masih menggunakan sistem siren lama.

Menurut beliau, pihak KASA juga akan menambah baik sistem CCTV yang dipasang di stesen pemantauan aras air dilengkapi capaian internet selain akan menambahkan jumlah CCTV itu di seluruh negara.

"Penambahbaikan ini akan boleh kan kita menghantar imej semasa paras air kepada penduduk untuk kita tingkatkan lagi mesej amaran banjir.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini dengan hanya amaran diberi tanpa ada gambar, mungkin ada yang ambil mudah jadi dengan langkah ini ia boleh memberi bukti tentang paras air semasa," ujarnya.

Menurut beliau, KASA akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk memastikan sistem CCTV itu dilengkapi capaian internet supaya paras air dapat dipantau.

"Kita sasarkan pasang keseluruhan 120 CCTV pengawasan banjir ini di seluruh negara sehingga 2023. Setakat ini sebanyak 30 buah CCTV telah beroperasi dan 20 buah CCTV sedang dipasang di Selangor," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman berkata, PRABN diwujudkan berikutan kejadian banjir besar pada 2014 yang melibatkan banyak negeri terutama di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Sistem PRABN merangkumi 41 buah lembangan sungai dan dibangunkan dalam tiga fasa. Fasa satu melibatkan tiga lembangan sungai di negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Fasa dua melibatkan 38 lembangan dan fasa tiga melibatkan 23 lembangan.

"PRABN mampu memberi ramalan banjir tujuh hari sebelum kejadian banjir monsun dan memberi amaran dua hari sebelum kejadian banjir monsun," katanya.