Kemaman pula dilanda banjir

Sebuah kediaman di Kampuang Ban Ho di Kemaman mula dinaiki air pada Jumaat.
Sebuah kediaman di Kampuang Ban Ho di Kemaman mula dinaiki air pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kemaman menjadi daerah baharu terjejas akibat banjir di Terengganu selepas Dungun menjadikan angka terkini mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 433 orang setakat jam 4 petang pada Jumaat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, seramai 43 mangsa daripada lapan keluarga kini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Ban Ho di daerah tersebut yang mula diaktifkan jam 12 tengah hari pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, bilangan mangsa banjir di daerah Dungun tidak menunjukkan perubahan ketara berbanding angka yang direkodkan pada sebelah pagi iaitu seramai 390 orang.

"Setakat ini jumlah mangsa banjir di dua PPS di Dungun iaitu di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukur dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja sama seperti yang direkodkan pada sebelah pagi.

"Sehingga kini seramai 225 penduduk ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Shukur manakala 165 mangsa berada di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan tersebut turut memberitahu keadaan semasa cuaca di Terengganu mendung serta hujan renyai-renyai di sesetengah tempat.

Sementara itu, menurut laman Facebook rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, setakat jam 4 petang pada Jumaat hanya dua sungai di Terengganu melepasi paras amaran iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (20.95 meter) dan Sungai Besut di Jambatan Keruak (Besut) (34.5m).

Katanya, lapan stesen sungai utama lain iaitu di stesen Kampung Ban Ho (Kemaman), stesen Pasir Raja (Dungun), stesen Kampung Kuala Ping (Hulu Terengganu), stesen Kampung Bukit (Setiu), stesen Kampung Langkap (Setiu) dan stesen Kampung La di Besut melepasi paras waspada.

Artikel Berkaitan: