Jeli banjir enam kali sepanjang musim tengkujuh

Penduduk di Kampung Legeh, Ayer Lanas di Jeli mendedahkan kawasan rumah mereka akan ditenggelami banjir sekurang-kurang enam kali sepanjang tempoh Monsun Timur Laut melanda negeri ini bermula November hingga Januari setiap tahun.
Penduduk di Kampung Legeh, Ayer Lanas di Jeli mendedahkan kawasan rumah mereka akan ditenggelami banjir sekurang-kurang enam kali sepanjang tempoh Monsun Timur Laut melanda negeri ini bermula November hingga Januari setiap tahun.
A
A
A

JELI - Penduduk di Kampung Legeh, Ayer Lanas di sini mendedahkan kawasan rumah mereka akan ditenggelami banjir sekurang-kurang enam kali sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh melanda negeri ini bermula November hingga Januari setiap tahun.

Seorang penduduk, Jarah Musa, 56, tanpa berselindung mengakui secara lazimnya banjir yang melanda kampungnya akan 'tamat' selepas enam kali ditenggelami air berpandukan kepada pengalaman sebelum ini.

"Kedudukan kampung kami berhampiran sungai, jika taburan hujan lebat air akan melimpah sehingga mencecah 1.5 meter.

"Walaubagaimana pun air di sini cepat surut, kalau melimpah pada waktu pagi biasanya akan surut di sebelah petang jika cuaca berada dalam keadaan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, situasi itu sudah menjadi kebiasaan kepada lebih 100 penduduk di kawasan tersebut.

Dia berkata, sejak November hingga Jumaat sudah tiga kali Kampung Legeh di tenggelami banjir.

Katanya, dia dan suami, Ahmad Saad, 56, sentiasa mengambil langkah awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sejurus menerima arahan daripada pasukan keselamatan.

"Alhamdulillah, paras air sedikit surut tetapi disebabkan hujan masih lebat kami memilih untuk berpindah awal, lagipun pihak anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa datang membuat rondaan dan menasihatkan kami untuk berpindah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sailah Salleh, 53, berkata, walaupun rumahnya dibina tinggi namun dia tetap berwaspada dengan situasi semasa paras air.

Katanya, disebabkan itu dia dan keluarga sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke PPS.

Menurutnya, walaupun sudah biasa banjir dan air cepat surut tetapi pengalaman berdepan banjir besar 2014 meninggalkan kesan trauma kepada mereka.

"Selagi masih dalam musim tengkujuh, perasaan bimbang dan berjaga-jaga sentiasa ada.

"Dengan langkah ini kami bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa tetapi membantu meringankan beban petugas keselamatan bila berlaku bencana," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, kebanyakan penduduk di Kampung Legeh, Ayer Lanas telah pun meninggalkan kediaman masing-masing berpindah ke PPS sendiri.

Setakat jam 9.30 pagi Jumaat seramai 123 mangsa banjir di tempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Legeh manakala 54 lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas.