Malaysia, Singapura terus bincang perjanjian air 1962

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) bersama rakan sejawatnya dari Singapura Vivian Balakrishnan (kiri) selepas sidang media bersama di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) bersama rakan sejawatnya dari Singapura Vivian Balakrishnan (kiri) selepas sidang media bersama di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan berkaitan perjanjian air 1962 dengan matlamat untuk mencari cara terbaik bagi menyelesaikan pertikaian yang berlarutan itu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Bercakap selepas bertemu rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan untuk membincangkan pelbagai isu dua hala di Wisma Putra di sini hari ini, Saifuddin berkata rundingan berkaitan semakan semula harga air mentah yang dibekalkan oleh Malaysia kepada Singapura sedang dikendalikan oleh peguam negara Malaysia dan Singapura.

Saifuddin berkata kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen mereka untuk menyelesaikan isu dua hala menerusi cara yang membina dan menggalakkan usaha diplomatik yang berterusan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kepentingan bersama.

"Ini sudah tentulah dengan memelihara hubungan penting kedua-dua negara dan mempertingkatkan hubungan dua hala berlandaskan kesaksamaan serta saling menghormati.

"Saya berpendapat inilah semangat yang mendasari semua perbincangan yang kami adakan sebelum ini dan yang akan kami adakan di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Balakrishnan berkata perbincangan antara Malaysia dan Singapura diadakan untuk lebih memahami kedudukan setiap negara berhubung hak untuk menyemak semula harga air di bawah perjanjian itu.

"Peguam Negara Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan untuk lebih memahami kedudukan setiap negara berhubung hak untuk menyemak semula harga air di bawah perjanjian ini,” katanya.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Artikel Berkaitan:

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata Singapura akan kalah jika isu itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana harga yang dibayar bagi air mentah itu tidak munasabah.

Dr Mahathir berkata kedua-dua negara perlu membincangkan perkara itu terlebih dahulu sebelum membawa pertikaian itu kepada ICJ.- Bernama