Masih adakah sinar di sebalik duka

Keadaan semasa rumah penduduk Kampung Cemperai yang dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan Bernama di Kampung Cemperai. - Foto Bernama
Keadaan semasa rumah penduduk Kampung Cemperai yang dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan Bernama di Kampung Cemperai. - Foto Bernama
A
A
A

BENCANA banjir yang melanda negara baru-baru ini memberikan kesan yang cukup besar kepada mangsa yang terlibat, terutamanya membabitkan kerosakan harta benda.

Ia dibuktikan apabila Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM) mendedahkan, industri insurans am dijangka berdepan dengan tuntutan berkaitan banjir yang dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion di beberapa kawasan di seluruh negara.

Anggaran tersebut termasuk tuntutan peribadi yang sebenar dan berpotensi serta risiko komersial yang berpunca secara langsung daripada banjir kilat dan musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.

Selain itu, bagi golongan penternak pula, kerugian yang dialami meliputi kematian ternakan seperti lembu, kambing, ayam, rusa, itik, lembu sado dan arnab serta kemusnahan stok makanan ternakan, kerosakan kandang dan peralatan ladang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, seramai 160 penternak di Selangor mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah sehingga RM2.1 juta akibat bencana banjir.

Bagi negeri Pahang dan Negeri Sembilan pula, masing-masing direkodkan seramai 55 dan 48 penternak yang terjejas dengan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Melengkapkan duka bagi mangsa banjir adalah apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberitahu tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

Dalam kenyataannya, KWSP memaklumkan organisasi itu tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan Akaun 1 atau 70 peratus simpanan ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan lebih cerah.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu sekali gus dilihat menutup harapan ramai rakyat, khususnya yang terkesan banjir untuk kerajaan mempertimbangkan pengeluaran kali terakhir sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, mereka boleh menarik sedikit nafas lega apabila kerajaan melaksanakan moratorium untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022.

TEKUN Nasional juga menyediakan dana RM30 juta di bawah program Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang terkesan serta pembiayaan kewangan peribadi oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mangsa banjir tanpa faedah.

Bantuan-bantuan dan kemudahan yang disediakan ini diharap akan dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa, seterusnya kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Walaupun mungkin memakan masa untuk kembali pulih dengan segala cabaran dan dugaan yang berlaku, kita harus percaya masih ada sinar di sebalik duka yang melanda.