41 koperasi Pahang, Selangor terjejas banjir

Zazali Haron
Zazali Haron
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengenalpasti 41 koperasi di Pahang dan Selangor yang terjejas akibat banjir layak memohon Tabung Kecemasan Koperasi dengan jumlah maksimum RM30,000 bagi setiap koperasi.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi, Zazali Haron berkata, daripada jumlah itu, 24 koperasi terlibat di Pahang manakala 17 lagi koperasi di negeri Selangor setakat ini.

Katanya, jumlah tersebut belum muktamad kerana masih pada peringkat awal pengiraan dan dijangka bertambah apabila keadaan banjir dan pascabanjir di kedua-dua negeri itu reda.

“Koperasi yang terjejas banjir melibatkan premis koperasi dan kerosakan serta kerugian prasarana membabitkan sektor pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh koperasi di dua negeri itu,” katanya kepada pemberita di Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, di sini, pada Isnin.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berhubung peruntukan bantuan permulaan RM1 juta untuk koperasi yang terjejas akibat banjir, pada Isnin.

Menurut Zazali, inisiatif menerusi Tabung Kecemasan Koperasi sememangnya diberikan saban tahun dan bantuan berjumlah RM1 juta tahun itu meningkat berbanding RM400,000 yang diberikan SKM kepada koperasi terjejas akibat bencana pada tahun lalu.

“Permohonan oleh koperasi yang layak boleh dilakukan menerusi kaedah dalam talian di portal rasmi SMK https://www.skm.gov.my/index.php/my/.

“Pemohon perlu menyertakan bukti-bukti dengan memuat turun laporan polis dan gambar koperasi yang terjejas kerana bencana alam itu yang akan diproses segera agar dapat meringankan beban ditanggung mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Noh turut mengumumkan insentif pengurangan pemindahan Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) untuk koperasi, daripada 15 peratus kepada lapan peratus daripada untung bersih teraudit selepas pelarasan operasi.

Langkah itu akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak tujuh peratus yang boleh dimanfaat untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas.

Inisiatif itu diberi kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 hingga 30 November 2022.