[VIDEO] Konvoi diiringi polis trafik diberi laluan untuk elak kemalangan

Tular sebuah ambulans serta pacuan empat roda milik Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi oleh polis trafik di sebuah lokasi di sini.
Tular sebuah ambulans serta pacuan empat roda milik Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi oleh polis trafik di sebuah lokasi di sini.
A
A
A

HULU LANGAT - Polis pada Isnin menjelaskan isu tular berkaitan sebuah ambulans serta kenderaan pacuan empat roda milik Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi polis trafik pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi pada 26 Disember membabitkan rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri diiringi polis trafik dalam perjalanan menuju ke Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 Hulu Langat selepas melihat kerja-kerja pembersihan membantu mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Menurut beliau, semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan tetapi ketika itu anggota bertugas di persimpangan berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan tersebut untuk tempoh masa yang singkat.

"Ini kerana jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) tiba hampir ke persimpangan berkenaan, tindakan mengatasi trafik tersebut telah diambil oleh anggota trafik berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No. 9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, dalam keadaan yang ditunjukkan dalam video tersebut, sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada pacuan empat roda dan ambulan milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama, ia tindakan yang akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya.

"Oleh itu, konvoi yang berada di jalan utama telah diberikan keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan.

"Sebaik sahaja konvoi melepasi persimpangan tersebut pada tempoh yang singkat, anggota trafik telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulan dan kenderaan pacuan empat roda berkenaan setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku," katanya.

Menurutnya, PDRM sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan awam terutama melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulan dan bomba.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, tular sebuah ambulans serta pacuan empat roda milik Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi oleh polis trafik di sebuah lokasi di sini.

Kejadian tersebut mengundang kecaman netizen di media sosial.