Sila log masuk terlebih dahulu.

'Terkejut, terharu kunjungan PM' - Mangsa banjir

Ismail Sabri (tengah) bertanya khabar kepada mangsa banjir di Kampung Batu 12, Puchong pada Ahad. (Gambar kecil, dari kiri Mohd Hafiz, Mazalan)
Ismail Sabri (tengah) bertanya khabar kepada mangsa banjir di Kampung Batu 12, Puchong pada Ahad. (Gambar kecil, dari kiri Mohd Hafiz, Mazalan)
A
A
A

PUCHONG - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan di rumah mangsa banjir di Kampung Batu 12 di sini pada Ahad.

Beliau mengadakan lawatan lebih sejam di empat buah rumah mangsa banjir selepas menunaikan solat zohor di Masjid Al-Istiqamah.

Mengiringi beliau ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mangsa banjir, Mazalan Kadim, 44, mengakui terkejut dan terharu dengan kunjungan pemimpin itu yang meluangkan masa bertanya khabar sepanjang kejadian banjir di sini beberapa hari lalu.

“Beliau juga bertanyakan sama ada kami ada memohon bantuan mangsa banjir,” katanya.

Mazalan yang bekerja sebagai tukang perabot menambah, dia baru mengetahui mengenai bantuan kepada mangsa banjir dan berhasrat untuk memohon.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Hafiz Leong Abdullah, 29, juga tidak menyangka kunjungan Perdana Menteri yang pasti memberi semangat untuk mereka sekeluarga selepas mengharungi banjir teruk di kampung berkenaan.

Mohd Hafiz berharap kerajaan dapat membantu menyumbang keperluan asas kepada mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

“Barang-barang kami rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.