Drama Korea jadi pembakar semangat untuk berjaya

Muhammad Afwan Syahmi bersama ibunya, Zainab Omar, 55, gembira dengan keputusan cemerlang 9A yang diperoleh sekali gus menjadi pelajar terbaik SMK Puncak Alam.
Muhammad Afwan Syahmi bersama ibunya, Zainab Omar, 55, gembira dengan keputusan cemerlang 9A yang diperoleh sekali gus menjadi pelajar terbaik SMK Puncak Alam.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Teruja melihat kehebatan doktor dalam drama Korea Selatan memberi ilham dan semangat kepada pelajar cemerlang SPM 9A SMK Puncak Alam, untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.

Muhammad Afwan Syahmi Md Adnan, 18 yang juga anak ketiga dari empat beradik itu yang cukup meminati drama Korea dan rancangan masakan itu berkata, dia mempunyai kaedah menelaah pelajaran sendiri apabila membuat latihan di depan televisyen.

“Saya memang ‘study’ sambil tengok TV sebab itu saja cara untuk saya fokus tak suka suasana senyap-senyap ni. Kena ada suara atau bunyi-bunyi dari TV barulah boleh buat latihan.

“Saya juga memang minat subjek Sains dan suka tengok drama doktor hebat buat rawatan dan tolong selamatkan orang. Jadi dari situ saya mahu jadi seorang doktor yang berjaya,” katanya.

Muhammad Afwan Syahmi turut menjadikan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha sebagai role model untuk berjaya.

“Saya mahu jadi sepertinya dan mahu jadi yang lebih baik dari abang dan kakak saya yang juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang masing-masing.

Pengetua SMK Puncak Alam, Johari Mohd Noh (kiri) merakam kenangan bersama pelajar cemerlang SPM.
Pengetua SMK Puncak Alam, Johari Mohd Noh (kiri) merakam kenangan bersama pelajar cemerlang SPM.

“Nak berjaya satu saja rahsianya, niat kita nak belajar hanya kerana ALLAH. Kena juga hormat cikgu dan rajin buat latihan selain tuisyen sebab saya ni jenis suka belajar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pelajar cemerlang 9A, Nur Farah Atikah Rosman, 18, pula tidak menyangka menerima keputusan cemerlang sekali gus dapat membanggakan kedua ibu bapanya.

“Saya tak sangka dapat 9A sebab masa percubaan cuma dapat 8A saja. Alhamdulillah usaha keras sebelum ini fokus belajar, tuisyen dan banyak buat latihan di rumah berbaloi.

“Seronok bila mak datang bersama hari ini seronok tengok keputusan saya dan dapat sambung belajar di luar negara macam abang yang esok ada majlis graduasi di Jepun,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor.