Tabung Bencana Pertanian utamakan sektor jana sumber makanan

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Mereka yang memelihara haiwan mahal dan bernilai tinggi sebagai hobi mewah tidak layak untuk memohon bantuan Tabung Bencana Pertanian Terengganu sekiranya binatang tersebut mati kerana bencana.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana memelihara haiwan mahal sebagai hobi biasanya diceburi mereka berkemampuan.

Menurutnya, antara contoh haiwan yang dikenal pasti diternak sebagai hobi mewah adalah arnab baka import berharga lebih RM3,000 seekor, ayam serama dan ikan hiasan bernilai ribuan ringgit seekor.

“Haiwan dibela sebagai hobi mewah ini tidak dikategorikan sebagai penerima bantuan Tabung Bencana Pertanian kerana bukan dalam industri ternakan yang menjana sumber bekalan makanan negeri yang menjadi hala tuju pertanian negeri.

“Kita ada penerima permohonan daripada pemilik haiwan mahal sebelum ini, namun tidak dapat diluluskan kerana kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan untuk bayar ganti rugi kematian 20 ekor arnab dengan nilai kerugian melebihi RM60,000.

“Oleh itu, saya cadangkan kepada pemilik supaya haiwan mahal ini dilindungi oleh insurans. Fokus kerajaan negeri adalah sektor pertanian, perikanan dan penternakan yang menyumbang ke arah ‘food security’ negeri Terengganu,” katanya di sini pada Ahad.

Menurut Azman, Tabung Bencana Pertanian Terengganu berfungsi sebagai tabung untuk membantu warga tani, penternak dan nelayan bangkit semula apabila dilanda musibah yang menyebabkan kerugian kepada sumber mata pencarian mereka.

“Ia bukan bersifat ganti rugi kerana peruntukan daripada kerajaan negeri tidaklah besar, hanya RM1 juta setahun untuk tiga sektor utama pertanian, penternakan dan perikanan bagi seluruh negeri sekiranya mereka ditimpa bencana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini katanya, tabung tersebut telah menyalurkan bantuan berbentuk saguhati berjumlah RM588,000 kepada 679 petani, penternak dan nelayan di negeri ini yang terkesan akibat banjir dan ribut dalam tempoh dua tahun.

Jelas beliau, penerima paling banyak melibatkan pemain dalam sektor pertanian iaitu 496 orang dengan sumbangan berjumlah RM301,000 diikuti penternakan RM153,000 (89 penerima) dan perikanan sebanyak RM134,000 (83 orang).