Arafat tawar ganjaran RM1,000, bantu 'kesan' empat menteri

Muhamad Arafat
Muhamad Arafat
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menawarkan ganjaran RM1,000 kepada individu yang dapat membantunya 'mengesan' keberadaan empat menteri kabinet.

Beliau berkata, tawaran berkenaan dibuat selepas mendapat makluman bahawa empat menteri tersebut tidak kelihatan turun padang sepanjang misi banjir yang melanda negara sejak minggu lalu.

"Saya terpanggil membuat tawaran ini kerana muka keempat-empat menteri ini langsung tidak dilihat dalam misi membantu mangsa banjir yang setakat ini telah meragut puluhan nyawa.

"Tindakan saya ini terpaksa kerana sampai sekarang tiada makluman yang jelas dari mana-mana pihak di manakah mereka, adakah mereka hadir majlis rasmi di luar negara dan kenapa langsung tiada terlibat dalam misi bantuan banjir," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sesiapa yang dapat mengesan keempat-empat menteri terbabit boleh memberi maklumat melalui messenger Facebook YB Arafat - Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta berserta nombor akaun.

"Saya menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang boleh mengesan empat menteri Persekutuan ini," ujarnya.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu turut mempersoalkan arahan Perdana Menteri yang meminta mana-mana menteri sedang berada di luar negara membuat penerbangan pulang ke tanah air dengan segera, berkemungkinan merujuk kepada empat menteri terbabit.

"Sekiranya benar, mereka sebagai menteri sepatutnya perlu segera pulang dengan sendiri apabila mengetahui negara dilanda bencana sepertimana dilakukan pemimpin negara lain tanpa perlu menunggu sehingga arahan dikeluarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Empat menteri yang dimaksudkan adalah Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.