Segera bina kolam takungan air baharu di LRA Chini

Wan Rosdy bersama Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak ketika meninjau muka suak LRA Chini.
Wan Rosdy bersama Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak ketika meninjau muka suak LRA Chini.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan Persekutuan digesa agar meluluskan kembali peruntukan RM12 juta bagi pembinaan kolam takungan air baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Chini, di sini yang diberhentikan selepas PRU14 lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebelum ini beliau difahamkan peruntukan itu diluluskan melalui Felda sebelum ianya dihentikan.

Menurutnya, beliau meminta peruntukkan itu diluluskan segera kerana pembinaan kolam takungan air baharu itu merupakan rancangan jangka pendek untuk mengatasi masalah bekalan air yang melibatkan seluruh kawasan Chini.

“Projek ini sangat diperlukan terutamanya apabila berlakunya musim kemarau seperti mana yang dialami sekarang,” katanya.

“Saya difahamkan perkara ini telahpun dibawa semula dan kemungkinan besar akan dipertimbangkan untuk diluluskan kerana keadaan yang sangat memerlukan,” katanya.

“... Peruntukan RM12 juta untuk membuat takungan air yang baharu di LRA Chini dimaklumkan secara tidak rasmi ada mengatakan bahawa peruntukan ini akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau permasalahan air yang berlaku di kawasan Chini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan beberapa Exco Kerajaan Negeri termasuk Exco Kemudahan Asas Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan beri perhatian yang serius terhadap perkara itu.

Wan Rosdy membantu mengisi air dari lori tangki paip ke tangki air yang disediakan di hadapan rumah penduduk ketika meninjau permasalahan air di Felda Chini Timur 2.
Wan Rosdy membantu mengisi air dari lori tangki paip ke tangki air yang disediakan di hadapan rumah penduduk ketika meninjau permasalahan air di Felda Chini Timur 2.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, Kerajaan Persekutuan pimpinan BN sebelum ini ada perancangan jangka panjang bagi menangani masalah bekalan air melibatkan LRA Chini yang membekalkan air terawat kepada 1,052 akaun pengguna.

Beliau berkata, antaranya cadangan yang dikemukakan termasuk pembinaan LRA baharu di Kampung Air Hitam dengan anggaran kos RM160 juta bagi menggantikan LRA Chini dan LRA Kuala Lepar yang sedia ada.

“Cadangan turut meliputi kerja-kerja pembinaan muka sauk (intake) baharu di Kampung Air Hitam, pemasangan paip penghantar sepanjang 25 kilometer bagi menghantar air mentah dari Sungai Pahang berdekatan untuk diproses di LRA Chini yang dianggarkan menelan kos RM40 juta,” katanya.

Mengulas hasil lawatan beliau ke LRA Chini semalam, Wan Rosdy berkata, beliau dimaklumkan sudah berlaku peningkatan pada paras air di muka sauk LRA Chini iaitu kira-kira 1.68 meter berbanding paras kritikal sebelumnya pada 0.6 meter.

“Peningkatannya berlaku susulan kenaikkan paras air Sungai Mentiga di sini yang menjadi sumber bekalan air mentah untuk loji ini. Ia berikutan selepas hujan selama dua hari berturut-turut, di kawasan hulunya di Bukit Ibam,” katanya.

Wan Rosdy berkata, beliau menghargai tindakan pantas yang diambil Pengurusan Air Pahang Bhd apabila segera membekalkan air kepada penduduk terjejas menggunakan lori tangki.

“Saya difahamkan, dalam tempoh hingga petang semalam, 14 lori tangki dari seluruh daerah ditugaskan ke sini untuk menghantar bekalan air bersih selain menyediakan 51 tangki statik,” katanya.