'Separuh akhir penanda aras Aaron-Wooi Yik'

Aaron-Wooi Yik
Aaron-Wooi Yik
A
A
A
BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekurang-kurangnya perlu layak ke separuh akhir kejuaraan disertai, menurut Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

Rexy yang baru sahaja melapor diri di BAM pada 1 Disember lalu berpendapat pencapaian ke peringkat separuh akhir seharusnya menjadi penanda aras bagi Aaron-Wooi Yik yang dilihat bertepatan dengan status mereka sebagai pemenang gangsa Olimpik Tokyo, Ogos lepas.

"Sepatutnya setiap kejohanan minimum adalah separuh akhir, jika suku akhir itu pun dikira gagal bagi tahap Aaron-Wooi Yik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Rexy, selaku bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik, berkata prestasi yang tidak konsisten dipamerkan Aaron-Wooi Yik termasuk beberapa kali tersingkir di peringkat awal dalam kejohanan disertai selepas pencapaian membanggakan pada temasya sukan terbesar dunia di Jepun itu masih menjadi persoalan hingga kini.

Ini, katanya, kerana beregu ketujuh terbaik dunia itu memiliki kualiti yang sangat mengagumkan di gelanggang seperti ditampilkan mereka ketika menewaskan gandingan Jepun yang kini menghuni ranking keempat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 22-20, 14-21, 21-16, di peringkat kumpulan Piala Sudirman di Vantaa, Finland, September lepas.

"Kita kena cari kenapa mereka sekejap konsisten sekejap tidak, tahap seperti mereka tidak boleh macam itu, jika merudum tidak boleh jatuh terlalu ke bawah sekali. Contohnya, tahap turun naik beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan tidak begitu jauh jurangnya berbanding Aaron-Wooi Yik,” katanya.

Daripada tujuh kejohanan disertai mereka selepas aksi di Sukan Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik hanya mara ke peringkat separuh akhir sebanyak dua kali iaitu di Terbuka Perancis 2021 dan Indonesia Masters 2021 selain membantu skuad negara layak ke separuh akhir Piala Sudirman 2021.

Sementara itu, Rexy mendapati rata-rata pemain masih belum mempunyai mentaliti juara sehinggakan mereka hilang kepercayaan kepada diri sendiri walaupun mampu membuktikan boleh bermain dengan baik ketika sesi latihan dijalankan.

Beliau berkata skuad badminton harus mencontohi Jepun yang sentiasa dahagakan kejayaan dalam setiap kejohanan disertai sehinggakan mereka mampu mendominasi sukan badminton antarabangsa sejak lima tahun kebelakangan ini.
Artikel Berkaitan:


Sehubungan itu, Rexy yang juga bekas jurulatih pasangan beregu negara di BAM dari 2005-2012 berkata latihan keras perlu diterapkan kepada pemain dalam usaha untuk melahirkan jaguh terbilang di peringkat antarabangsa.

"Latihan itu mesti keras, bukan mahu seksa mereka tapi nak jadikan mereka juara selain membentuk minda mereka untuk mengerti apa yang dibuat di gelanggang...setakat ini, saya lihat pemain pelapis telah memberi maklum balas positif terhadap apa yang dikehendaki saya sejak kembali bertugas bersama BAM,” tambahnya.

Pakar beregu berusia 53 tahun dari Indonesia itu juga memaklumkan beliau akan bertemu skuad utama selepas mereka tamat tempoh kuarantin tidak lama lagi susulan penyertaan dalam kejohanan di benua Eropah dan Indonesia sejak September lepas. - Bernama