Tidak perlu ilmu 'roket sains' cari punca banjir: Peka

Shariffa Sabrina ketika ditemui di Wisma Tanah Aina, di Batu Tiga, Shah Alam pada Khamis.
Shariffa Sabrina ketika ditemui di Wisma Tanah Aina, di Batu Tiga, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak perlu mempelajari ilmu 'roket sains' untuk mencari punca banjir yang melanda di beberapa negeri termasuk Selangor sebaliknya punca boleh diketahui dengan menggunakan akal.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Datuk Dr Shariffa Sabrina Syed Akil menyifatkan antara punca banjir disebabkan berlakunya aktiviti penebangan hutan.

Menurutnya, hutan adalah nadi kehidupan walaupun sesetengah pihak berpandangan penebangan hutan wajar untuk tujuan pembangunan namun hutan yang ditebang itu perlu ditanam semula.

"Sebab di Singapura mereka tanam semula banyak pokok, mereka tahu setiap kali hujan melanda, hutan dapat dijadikan penyerap air," katanya ketika ditemui di Wisma Tanah Aina, Batu Tiga, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut tertarik dengan komen netizen di laman sosial yang mempersoalkan kenapa Selangor turut mengalami banjir sedangkan negeri itu tiada aktiviti 'pembalakan'.

"Saya juga baca komen-komen netizen (di laman sosial berkenaan isu banjir) mereka kata kalau Kelantan dan Pahang bolehlah cakap banjir sebab ada 'pembalakan'.

"Tetapi kenapa kalau (ketika ini) Selangor pula banjir, Selangor kan tiada pembalakan, (tetapi) sebabnya Selangor pun sama, mereka pun potong banyak hutan," katanya.

Ujarnya lagi, setiap tahun negara akan menghadapi bencana banjir dan ia sudah bermula sejak kemerdekaan lagi iaitu pada tahun 70-an ketika pembangunan di Malaysia mula dibina.

Artikel Berkaitan:

"Tidak jadi masalah jika kita mahukan pembangunan tetapi janganlah sampai terlampau kerana yang akan menghadapi kesusahannya kelak adalah rakyat.

"Saya menyalahkan semua pihak, pemimpin dan ini juga kerana rakyat terlampau baik dan sering bertolak ansur dengan kerajaan dan kita mengikut apa sahaja yang kerajaan minta.

"Misalnya dalam isu Hutan Simpan Kuala Langat, badan bukan kerajaan (NGO) terpaksa 'berperang' hanya kerana hendak simpan tanah hutan yang luasnya hanya 'sekangkang kera'," katanya.