Kaedah penandaan lembu atasi haiwan berkeliaran

Operasi freeze branding atau kaedah penandaan lembu yang telah bermula sejak 11 Mac bagi mengatasi masalah lembu berkeliaran di Mukim Sedili.
Operasi freeze branding atau kaedah penandaan lembu yang telah bermula sejak 11 Mac bagi mengatasi masalah lembu berkeliaran di Mukim Sedili.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebanyak 1,400 ekor ternakan melibatkan 30 penternak di Mukim Sedili di sini akan terlibat freeze branding iaitu kaedah penandaan lembu bagi mengenal pasti pemilik lembu sekali gus mengatasi isu haiwan ternakan berkeliaran di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Saipol Rahman Amat berkata, masalah haiwan berkeliaran itu telah berpanjangan sejak berpuluh tahun lalu.

Menurutnya, Mukim Sedili merupakan kawasan pentadbiran MDKT dan pihaknya tidak terlepas daripada menerima aduan berkenaan permasalahan ini yang berlaku disebabkan haiwan ternakan tidak ditambat.

"Selain itu juga, isu ini merupakan salah satu faktor penyumbang kemalangan jalan raya yang melibatkan perlanggaran dengan haiwan ternakan dan mengakibatkan kecederaan parah, kerosakan harta benda.

"Perkara ini juga menimbulkan konflik antara masyarakat di sekitar kawasan berkenaan disebabkan kacau ganggu daripada kekotoran najis haiwan berkenaan dan perebutan hak milik lembu itu sendiri.

"Perkara ini menyebabkan banyak kes kecurian di laporkan di kawasan berkenaan. Justeru itu, pihak MDKT memandang serius berkenaan isu ini dan mengambil pendekatan bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku agar isu haiwan berkeliaran ini dapat diatasi dalam keadaan menang menang di antara penternak, masyarakat dan pihak berkuasa yang terlibat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambahnya, pihak MDKT mempunyai kuasa di bawah undang–undang kecil haiwan merayau 1995, Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu MDKT boleh menangkap haiwan ternakan berkeliaran ini serta kompaun sehingga RM500 setiap ekor haiwan yang disita.

Namun, pendekatan berkhemah diambil MDKT dengan menubuhkan task force bagi menangani isu ini di mana antara agensi yang turut terlibat ialah Jabatan Veterinar, Pejabat Daerah Kota Tinggi dan empat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Artikel Berkaitan:

"Hasil perbincangan antara pendekatan yang diambil bagi langkah awal sebelum penguatkuasaan undang – undang kecil haiwan merayau 1995 dilaksanakan ialah menggunakan teknik freeze branding.

"Kaedah freeze branding dibenarkan sebagaimana garis panduan Jabatan Veteriner, teknik ini juga dibenarkan oleh jabatan agama kerana tidak menyakiti haiwan dan tanda ini kekal sepanjang hayat haiwan berkenaan sekaligus, pelaksanaan undang–undang dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien," katanya.

Beliau juga memaklumkan haiwan ternakan berkenaan juga diambil sampel darah oleh pihak veterinar bagi mengetahui tahap kesihatan lembu ternakan.

Jelasnya, ini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu kualiti lembu di Mukim Sedili di samping haiwan ternakan diberikan bantuan makanan yang berkualiti semasa program ini dilaksanakan.

"Pihak penternak telah diberikan penerangan dan alhamdulillah secara keseluruhannya penternak secara sukarela terlibat dalam program ini.

"Operasi penandaan ini telah pun bermula dari 11 hingga 25 Mac ini dan melibatkan seramai 30 anggota daripada pelbagai agensi," katanya.