Penternak rugi lebih RM80,000, tiga lembu mati, 25 lagi hilang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GUA MUSANG - Sepuluh penternak mengalami kerugian lebih RM80,000 apabila tiga ekor lembu ternakan mereka ditemukan mati sejak empat hari lepas dekat kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh manakala 25 lagi tidak dapat dikesan sehingga hari ini.

Penternak, Raja Mohd Paris Raja Ismail, 34, berkata, dalam insiden itu, seekor lembu miliknya dan dua lagi milik penternak lain ditemukan mati di kawasan ladang dipercayai telah diracun oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Kami telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang pada Khamis lepas," katanya kepada pemberita di Jeram Tekoh di sini hari ini.

Zahari Jusoh, 60, pula berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari lembu yang hilang namun setakat ini, mereka belum menemukan sebarang petunjuk.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bangkai lembu di kawasan ladang terbabit dan kes itu dirujuk kepada Jabatan Veterinar untuk siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan. - Bernama