Banjir: KKM bimbang kes penyakit bawaan air

Nor Azmi (tengah) bersama Kon Yeow (lima dari kanan) merasmikan Hospital Kebajikan Kek Lok Si di Air Itam pada Rabu.
Nor Azmi (tengah) bersama Kon Yeow (lima dari kanan) merasmikan Hospital Kebajikan Kek Lok Si di Air Itam pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang berlaku kes penyakit berjangkit melibatkan air susulan kejadian banjir di beberapa buah negeri pada waktu ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, selain air banjir, pihaknya juga bimbang penyakit yang dibawa daripada pencemaran makanan serta perhimpunan orang ramai di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, setakat ini KKM belum menerima laporan mengenai penyakit berjangkit melibatkan faktor berkenaan.

"Di samping Covid-19, kita juga bimbang bencana banjir akan menyebabkan penyakit bawaan air iaitu keracunan makanan iaitu acute gostroenteritis (AGE), tifoid, dan kolera, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan denggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hospital Kebajikan Kek Lok Si, Air Itam di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak menjaga prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan jangkitan penyakit dalam kalangan mangsa banjir.

"Kita faham, dalam misi menyelamat, agak susah untuk menjaga SOP tetapi lakukan yang terbaik. Selain itu, KKM juga mewujudkan pasukan yang ditugaskan menjalankan ujian saringan ph air selain memeriksa kebersihan kualiti makanan.

"Makanan yang dibawa kepada mangsa banjir tidak boleh sembarangan diberikan dan perlu melalui kumpulan yang akan melakukan saringan. Hanya makanan yang mendapat kebenaran sahaja boleh diedarkan kerana kita bimbang akan mendatangkan masalah penyakit.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ingin menyumbangkan makanan kepada mangsa banjir boleh berhubung terus dengan KKM," katanya.

Mengulas mengenai kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, Noor Azmi berkata, sehingga Selasa, sebanyak 267 kes positif direkodkan.

"Semua kes yang direkodkan ini bukan berlaku di PPS sebaliknya dijangkiti di rumah dan hanya pada tahap 1 dan 2 sahaja.

"Kebimbangan KKM sekarang, jika berlaku kluster- kluster baharu di PPS namun sehingga kini, tiada kluster dikesan (di PPS). Kita sarankan jaga SOP, pakai pelitup muka, jaga jarak dan jangan berkumpul serta bersembang," katanya.

Jelasnya lagi, KKM telah menghantar petugas kesihatan ke PPS untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan Covid-19 termasuk menjalankan ujian saringan.

"Mereka yang dikenalpasti positif telah diasingkan antaranya ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang dan PPS stesen kuarantin. Ada juga yang dikuarantin di rumah sahaja," katanya.

Sebelum ini, kira-kira 50 jalan di seluruh Selangor tidak dapat dilalui akibat banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak Jumaat.

Selain Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi negeri terbaru yang dilanda banjir selain Kelantan, Pahang dan Terengganu.