KKM rekod 14 kes berkaitan cuaca panas

Gambar hiasan. - Foto Bernama.
Gambar hiasan. - Foto Bernama.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 14 kes berkaitan dengan cuaca panas setakat semalam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Suani.

Beliau berkata, daripada jumlah itu masing-masing empat kes strok haba dan kelesuan haba, manakala enam kes lagi kes kejang haba.

"Mengikut rekod kes berkaitan cuaca panas ini, enam kes dilaporkan di Kelantan, Sarawak (5) dan Sabah (3) sehingga semalam dengan paling ramai membabitkan golongan dewasa iaitu tujuh kes.

"Bagaimanapun, kesemua kes yang dirujuk ke hospital telah pulih kecuali satu kes meninggal dunia melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun di Kelantan disebabkan strok haba," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 4th Intermediate Electrocardiogram Conference 2023 anjuran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata daripada jumlah kes itu, 13 mangsa sudah pulih kecuali satu kes kematian di Kelantan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Menurutnya di peringkat KKM, kepimpinan tertinggi telah melakukan usaha dan mendengar taklimat daripada kementerian berkaitan serta bersiap siaga bagi menghadapi strok haba yang berpanjangan.

"KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menguar-uarkan maklumat dalam televisyen atau media sosial, juga wakil rakyat diminta mengambil peranan supaya menyebar luas tentang senario cuaca panas di negara ini.

"Ketika ini situasi terkawal, fasiliti KKM dan hospital bersedia menerima semua kes seperti strok haba serta kekejangan haba," katanya.

Sementara itu, Lukanisman berkata KKM turut mengenal pasti lokasi yang mengalami suhu tinggi menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk tindakan segera termasuk menyediakan fasiliti-fasiliti kesihatan.

"Ibu bapa diminta tidak terlalu bimbang untuk hantar anak ke sekolah, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga terutama pengambilan air secukupnya selain tidak melakukan riadah sukan berlebihan.

"Pesawah, peladang dan pekebun juga perlu berhati-hati pada musim panas, perlu berehat dan minum air secukupnya bagi mengelak sebarang insiden," katanya. - Bernama.