Masalah pendengaran kes penyakit pekerjaan tertinggi di Perak

A
A
A

IPOH - Masalah pendengaran akibat terdedah dengan bunyi bising merekodkan kes tertinggi pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan di Perak.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Dr Rabaayah Daud berkata, statistik tahun lalu merekodkan 96 peratus daripada keseluruhan 722 kes dilaporkan adalah hilang pendengaran.

Menurutnya, kebanyakan kes terbabit adalah melibatkan pekerja kilang dalam sektor pembuatan dan pengilangan.

"Tahun ini sehingga April, JKKP Perak menerima 346 kes pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan dengan 250 daripadanya hilang pendengaran.

"Sejak dulu kes ini memang tidak pernah menunjukkan penurunan kerana kebanyakan aktiviti di kilang-kilang ini masih lagi menggunakan mesin-mesin lama menyebabkan bunyi bising keterlaluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri JKKP Perak di Bangunan Seri Kinta pada Isnin.

Rabaayah berkata, bagi mengurangkan risiko kes berkenaan, JKKP sedang berusaha memperbanyakkan program kesedaran dengan pihak industri.

"Menerusi program dijalankan, majikan diberi penekanan untuk menjaga kebajikan pekerja agar tidak terlalu terdedah dengan bunyi-bunyi bising," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 883 kes kecederaan pekerjaan dilaporkan dengan 20 daripadanya melibatkan kematian manakala hilang upaya kekal merekodkan 33 kes dan 830 kes tidak hilang upaya kekal.

Katanya, dalam tempoh sama, JKKP telah mengeluarkan 2,431 surat arahan dan 864 notis dengan 77 kesalahan direkod di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 membabitkan kompaun RM264,500 serta 29 tindakan mahkamah dengan jumlah denda RM338,000.

"Bagi empat bulan pertama tahun ini, 288 kes kecederaan telah direkodkan dengan empat daripadanya kes maut, hilang upaya kekal (5) dan tidak hilang upaya kekal (279).

"Sebanyak 32 kompaun sudah dikeluarkan dan tujuh kesalahan telah dikenakan tindakan pendakwaan dengan denda RM111,400,"ujarnya.