Pesara rugi RM108,500 ditipu sindiket Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pesara swasta mengalami kerugian RM108,500 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa wang di dalam akaun bank miliknya adalah haram dan tidak berdaftar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata, mangsa seorang lelaki berusia 66 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada 10 Disember lalu jam 4.30 petang di rumahnya.

"Lelaki berkenaan mendakwa dia adalah seorang pegawai polis, Sarjan Lee dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Ipoh dan memaklumkan bahawa wang dalam akaun simpanan mangsa adalah haram dan tidak berdaftar, namun mangsa menafikan dan mengatakan wang itu adalah milik mendiang ayahnya.

"Lelaki terbabit bagaimanapun mengarahkan mangsa untuk membuat pemindahan keseluruhan wang simpanannya bagi proses siasatan sementara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, pada 13 Disember lalu mangsa membuat pemindahan wang melalui mesin ATM sebanyak RM50,000 ke akaun Agro Bank milik Hadir Andi.

"Selepas dia membuat pemindahan wang, lelaki terabit turut menghantar salinan surat daripada Jabatan Audit Negara melalui aplikasi Whatsapp di mana kandungan surat tersebut mengatakan ia adalah aset yang perlu disiasat untuk memastikan yang wang pengadu adalah haram atau sebaliknya.

"Seterusnya lelaki terbabit sekali lagi mengarahkan mangsa untuk membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang sama pada hari berikutnya (14 Disember) dan mangsa membuat pemindahan wang sebanyak dua transaksi dengan jumlah RM50,000 dan RM3,500," jelasnya.

Mengulas lanjut, Aibee berkata, kali terakhir mangsa membuat transaksi pada 15 Disember lalu sebanyak RM5,000 dan selepas kesemua transaksi dibuat mangsa menghubungi lelaki terbabit dan memaklumkan semua pemindahan telah diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lelaki terbabit telah memberi satu tempoh untuk wang tersebut dikembalikan kepada mangsa setelah siasatan terhadap wang simpanannya selesai.

"Bagaimana pun, sehingga kini mangsa masih tidak menerima sebarang perkembangan berhubung wangnya dan mulai merasa tertipu sebelum bertindak membuat laporan di balai polis," katanya yang kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.