Pesara rugi lebih RM132,000 ditipu pelaburan mata wang kripto

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang pesara syarikat swasta kerugian RM132,407 selepas ditipu pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh enam jam selepas menyertai skim tersebut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa berusia 57 tahun itu melihat iklan tawaran skim pelaburan berkenaan ketika sedang melayari Facebook di rumahnya di Alor Gajah pada 2 Mei lepas.

"Mangsa kemudiannya membuat bayaran sebagai modal permulaan sebanyak RM1,000 sebelum menambah pelaburan secara berperingkat sebanyak RM132,407 antara 3 hingga 11 Mei lepas.

"Mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis pada 16 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran skim pelaburan secara dalam talian dan melaporkan kepada Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang telah diserahkan kepada sindiket penipuan. - Bernama