Thailand tangguh sementara program bebas kuarantin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand memutuskan untuk menangguhkan sementara program kemasukan bebas kuarantin, “Test & Go” dalam usaha mengekang penularan varian Omicron.

Semua ketibaan baharu yang memohon selepas 22 Disember, perlu menjalani kuarantin wajib di hotel.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Selasa mengarahkan permohonan pas untuk program “Test & GO” dan “Sandbox” (kecuali Phuket Sandbox) digantung sementara bermula tengah malam ini sehingga diberitahu kelak.

Beliau berkata, langkah itu akan dikaji semula pada 4 Januari.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 200,000 pelawat mendaftar untuk program “Test & Go” dan “Sandbox”, termasuk 110,000 yang sudah diluluskan untuk kemasukan tanpa kuarantin manakala 90,000 lagi menunggu kelulusan.

“Mereka akan dibenarkan masuk (Thailand). Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi langkah tambahan termasuk menjalani ujian RT-PCR kedua di kemudahan ditetapkan.

"Langkah-langkah ini adalah sementara...ini bukan untuk menyekat pelancong," katanya pada taklimat di sini pada Selasa.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa berkaitan akan memantau situasi Covid-19 serta perkembangan terkini varian Omicron di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Thailand melaporkan kes pertama penularan tempatan varian Omicron. Setakat ini, Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 63 kes varian Omicron yang disahkan manakala 20 lagi kes kemungkinan.

Mulai 1 Nov, Thailand telah membuka pintu kepada pengembara lengkap vaksin Covid-19 dari 63 negara dan wilayah.

Di bawah program “Test & Go”, sebanyak 227 kes Covid-19 telah dikesan pada bulan ini berbanding 83 kes pada November.

Selain itu, sejumlah 27 kes Omicron dilaporkan di bawah “Test & Go”, “Sandbox” (tiga) dan kuarantin alternatif (tiga).

Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 2,476 kes Covid-19, terendah sejak 10 Jun, dan 32 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,196,529 dan 21,440 korban setakat ini. - Bernama