Bapa Ainul jadikan kedai runcitnya tempat kumpul bantuan

Ahmad Saifiuddin (kanan) dan Nurul Erwani menyusun barang-barang yang disumbangkan orang ramai di kedai Asar Halmart, Taman Desa Molek, di sini, pada Selasa.
Ahmad Saifiuddin (kanan) dan Nurul Erwani menyusun barang-barang yang disumbangkan orang ramai di kedai Asar Halmart, Taman Desa Molek, di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Bapa kepada kanak-kanak yang menghidap Germ Cell Tumour, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, mengambil inisiatif menjadikan ruang kedai runcit miliknya, Asar Halmart, di Taman Desa Molek sebagai lokasi tempat mengumpul barang bantuan mangsa banjir.

Ahmad Saifiuddin Ahmad Razak, 27, memberitahu, apa yang berlaku di Selangor sangat menyentuh hatinya dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 26.

Menurut beliau, kemungkinan mereka yang terjejas akibat banjir adalah kalangan yang pernah membantu menyumbangkan dana dan menitipkan doa untuk anak sulungnya ketika menjalani pembedahan di London dua tahun lalu.

Pada awalnya, kata Ahmad, mereka merancang untuk mengumpulkan barangan dalam kalangan ahli keluarga saja, namun melihat ramai yang terkesan, mereka menghebahkan di media sosial masing-masing bagi membolehkan lebih ramai dapat menyumbang.

"Jadi, barang-barang yang dikumpulkan ini bukanlah daripada kami sahaja malah penduduk Melaka yang prihatin untuk mahu membantu.

"Inilah sikap rakyat Malaysia yang prihatin dan kami akan berusaha menyalurkan semua barang-barang sumbangan kepada mangsa banjir selewat-lewatnya pada Rabu," katanya ketika ditemui di kedainya di Ayer Molek di sini, pada Selasa.

Menurut Nurul Erwani, ada juga yang sanggup datang dari Tangkak Johor dan Gemenceh, Negeri Sembilan untuk memberikan sumbangan.

Selain memfokuskan bantuan di Selangor, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan seperti pakaian, kelengkapan asas mandian dan makanan kepada mangsa banjir di Lubok China dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ini juga salah satu usaha yang kami lakukan untuk membalas jasa baik rakyat Malaysia biarpun sebenarnya ia tidak mampu dibalas dengan kebaikan mereka yang pernah membantu Ainul," katanya yang turut bersedih kerana keluarganya di Meru, Klang turut terjejas akibat banjir.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Alinah Abu Othman, 52, begitu simpati dengan nasib mangsa banjir hanya mampu menyumbang pakaian termasuk telekung.

"Sedih melihat mereka yang terjejas, jadi kita yang tidak mengalami banjir perlu sama-sama membantu dan kebanyakan pakaian yang diberikan masih baharu.

"Kalaulah saya masih muda, saya nak ke sana bantu mereka kerana beberapa tahun lalu saya juga pernah melakukan perkara sama bagi membantu mangsa banjir di Pahang," katanya.

Bagi pemilik lori, Amir Atan, 60, dia turut terpanggil untuk menggunakan lorinya yang sebelum ini digunakan untuk kerja-kerja PA sistem bagi menghantar bantuan ke sana.

"Sebenarnya, lori ini sudah lama tidak digunakan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, jadi saya terfikir untuk membantu dari segi logistik.

"Malah, ada juga rakan-rakan saya dari Brunei yang menyumbang dari segi kewangan. Jadi, ada baiknya wang itu digunakan dengan membeli berapa barang keperluan termasuk air mineral dan makanan segera untuk mangsa banjir," katanya.