Vaksin pneumokokal diperluas kepada kanak-kanak 4, 5 tahun

Dr Zaliha (kanan) beramah mesra bersama kanak-kanak yang menerima Vaksin Pneumokokal pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Auditorium Kompleks E Presint 1 pada Rabu. - Foto: Bernama
Dr Zaliha (kanan) beramah mesra bersama kanak-kanak yang menerima Vaksin Pneumokokal pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Auditorium Kompleks E Presint 1 pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bermula esok hingga 31 Mei tahun depan, kanak-kanak berusia empat dan lima tahun boleh mendapatkan imunisasi pneumokokal secara percuma di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia adalah program perluasan pemberian imunisasi pneumokokal iaitu sebelum ini, kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 tidak termasuk dalam kumpulan sasaran pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini, Dr Zaliha berkata kanak-kanak berusia empat dan lima tahun akan diberikan satu dos vaksin berbanding bayi yang diberikan sebanyak tiga dos pada usia empat bulan, enam bulan dan 15 bulan.

"Ibu bapa atau penjaga yang ingin mendapatkan vaksin pneumokokal untuk anak mereka boleh mendapatkannya secara datang terus di klinik-klinik kesihatan dan desa di seluruh negara atau membuat janji temu di aplikasi MySejahtera," katanya.

Vaksin pneumokokal diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria itu ialah radang paru-paru (pneumonia); radang sinus; jangkitan telinga tengah; radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis); serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

KKM mula melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1 Disember 2020 bagi kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020.

Dr Zaliha berkata KKM menyasarkan 700,000 atau 70 peratus daripada satu juta kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 untuk diberikan vaksin pneumokokal dalam tempoh setahun itu.

Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak, terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin iaitu Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus (kancing gigi), Pertussis (batuk kokol), Haemophilus influenza type B, polio, measles (campak), mumps (beguk), dan rubella, katanya.

Bagi murid perempuan berumur 13 tahun, vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diberikan manakala di Sarawak pula, vaksin Japanese Encephalitis turut diberikan, katanya.

"Kini pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi. Pencapaian ini juga telah diperakui oleh WHO," katanya. - Bernama