Geng Apil aktif pecah rumah, curi kenderaan tumpas

Mohd Zaid (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di IPD Kajang pada Selasa.
Mohd Zaid (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di IPD Kajang pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Polis menumpaskan Geng Apil yang aktif melakukan jenayah pecah rumah serta curi kenderaan dengan penahanan empat individu termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan berasingan di sekitar Kajang pada 6 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 29 hingga 45 tahun itu ditahan susulan laporan polis berkenaan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di Taman Hijau, Kajang 4 Disember lalu.

Tambah beliau, soal siasat salah seorang suspek membawa kepada penemuan dua buah kenderaan mewah iaitu Toyota Yaris dan Alphard di kawasan parkir kenderaan di sebuah pangsapuri di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di sini.

"Polis menemui enam buah kenderaan iaitu Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry, Nissan Almera dan Perodua Alza yang di parkir di jalan dan kawasan kondominium di sekitar Kajang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini pada Selasa.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai anak kunci kenderaan termasuk alat kawalan jauh pintu pagar, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba serta tujuh dokumen iaitu kad pengenalan, lesen memandu dan kad debit bank milik mangsa.

Mohd Zaid berkata, geng yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu itu terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah dan melarikan kenderaan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid menunjukkan kenderaan curi yang berjaya dijumpai pada sidang media di IPD Kajang pada Selasa.
Mohd Zaid menunjukkan kenderaan curi yang berjaya dijumpai pada sidang media di IPD Kajang pada Selasa.

"Modus operandi kumpulan berkenaan ialah melarikan kenderaan mewah berdasarkan permintaan pelanggan," katanya.

Mohd Zaid memaklumkan kesemua suspek direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, seorang penjenayah 'lone ranger' yang disyaki terlibat dalam lapan kes samun kedai serbaneka ditahan di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 13 Disember lalu.

Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menahan suspek berusia 26 tahun itu di hadapan sebuah kedai serbaneka.

"Kita turus merampas sebilah parang, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, telefon bimbit, wang tunai RM206 dan beberapa pakaian milik suspek yang digunakan semasa kejadian samun," katanya.

Mohd Zaid memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.