Tragedi Bentong: Saksi nampak arus deras setinggi tiga tingkat

Rakaman gambar deretan chalet yang rosak teruk akibat dibawa arus deras sungai ketika tinjauan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir lumpur di Bobby Eco Farm Resort Bentong pada Isnin. - Foto Bernama

A
A
A

BENTONG - “Saya lihat air melimpah deras dari atas bukit setinggi tiga tingkat meluru ke bawah,” kata saksi kejadian tragedi tiga individu hilang dihanyut arus sungai di sebuah chalet di Bentong, Pahang, Sabtu lalu.

Penyelenggara chalet itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Sholadi, 62, berkata, ketika kejadian kira-kira 11 malam itu, beliau berada di rumahnya yang terletak di kawasan tinggi berhampiran chalet.

Dalam kejadian itu, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur.

Seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emmanuel Chang, 6, serta pasangan suami isteri, Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap Koon Lau dilapor hilang.

“Saya dengar bunyi air deras lalu keluar rumah dan melihat sejumlah kayu balak sebesar pemeluk dua orang dewasa memusnahkan sebahagian chalet disertai lumpur.

“Saya ternampak Bobby dan isterinya sedang mundar-mandir untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke restoran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dibawa arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort Bentong pada Isnin. - Foto Bernama
Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dibawa arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort Bentong pada Isnin. - Foto Bernama

Mohd Sholadi berkata, dia menjerit memanggil Bobby dan isterinya untuk naik ke tempat tinggi namun gagal dan melihat mereka dibawa arus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, restoran tersebut turut ditenggelami air dan itulah kali terakhir dia melihat pasangan itu.

Katanya, selain restoran, arus deras itu turut menenggelamkan tiga kolam ternakan ikan patin manakala pagar utama chalet turut roboh.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemukan dua 'hot spot’ yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dipercayai tempat Emmanuel dikhuatiri hilang dan di bawah timbunan kayu balak.

Anggota Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dibawa arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort Bentong pada Isnin. - Foto Bernama
Anggota Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dibawa arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort Bentong pada Isnin. - Foto Bernama

"Kami menggunakan dua anjing pengesan (K9) dan untuk mencari kesemua mangsa yang hilang, kedua-dua anjing itu telah menghidu ‘hot spot’ di dua tempat.

“Susulan itu, saya mengerahkan anggota untuk menggali secara manual di kawasan ‘hot spot’ yang dihidu anjing itu,” katanya yang mengakui operasi itu agak mencabar kerana terdapat banyak kayu balak, batu bata dan pasir yang dibawa arus deras selain tiada bekalan elektrik.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7 malam Isnin dan akan disambung semula pada 8.30 pagi Selasa.

Pasukan mencari dan menyelamat menemukan dua 'hot spot’ yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dipercayai tempat Emmanuel dikhuatiri hilang dan di bawah timbunan kayu balak. - Foto Bernama

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan untuk ke chalet dipenuhi lumpur susulan kesan arus deras selain terdapat banyak batu besar dipercayai bergolek dari kawasan tinggi, timbunan kayu balak serta berlaku beberapa runtuhan tanah sederhana di lereng bukit chalet berkenaan.

Keadan chalet juga terjejas dan separuh musnah manakala bahagian bawahnya diseliputi selut tebal. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir lumpur: Tiga pelancong hilang masih belum ditemui

Banjir lumpur: Tiga pelancong masih hilang