Banjir lumpur: Tiga pelancong masih hilang

Tiga pelancong dikhuatiri lemas dalam kejadian tersebut. Foto Ihsan JBPM
Tiga pelancong dikhuatiri lemas dalam kejadian tersebut. Foto Ihsan JBPM
A
A
A

BENTONG - Tiga pelancong tempatan masih hilang dikhuatiri lemas kerana dibawa arus sungai dalam insiden banjir lumpur di sebuah calet di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian tersebut, 32 lagi pelancong terdiri 24 orang dewasa dan selebihnya kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) telah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 malam melibatkan banjir lumpur.

Menurutnya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dibantu BBP Gombak bersama tiga anjing pengesan (K9) dan tujuh anggota Unit Pengesan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Sebahagian mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut. Foto Ihsan JBPM
Sebahagian mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut. Foto Ihsan JBPM

"Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga digerakkan bagi membuat kerja-kerja menyelamat mangsa yang dilaporkan dalam keadaan kesejukan dan tidak berani untuk berada di dalam calet yang tidak selamat diduduki disebabkan ancaman arus sungai deras.

"Pada jam 4.09 pagi (Ahad), semua mangsa berjaya ditemui dan kerja-kerja menyelamat dijalankan dan tamat pada jam 8.30 pagi.

"Setelah pengiraan dibuat, didapati seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki hilang dibawa arus sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Keadaan calet yang terbabit dalam insiden banjir lumpur pada Sabtu. Foto Ihsan JBPM
Keadaan calet yang terbabit dalam insiden banjir lumpur pada Sabtu. Foto Ihsan JBPM

Ujarnya, kawasan pencarian dijalankan pada jarak 300 meter radius dari kawasan kejadian.

"Operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang Ahad dan disambung semula pada esok," jelasnya.