'Kakak sayang emak, abah' - Dua beradik berkerusi roda kucup berkali-kali jenazah ibu bapa

BATU PAHAT - Sekelip mata dunia dua beradik, Hasya Fahira Zulkifli, 11, dan Muhammad Adam, 8, berubah apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Jalan Yong Peng-Muar, dekat Parit Yaani pada Ahad.
Detik paling memilukan apabila Hasya Fahira yang berkerusi roda selepas mengalami kecederaan dan melecur mengucup jenazah ibu bapanya berulang kali sambil meluahkan ungkapan 'kakak sayang emak, abah' di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Ibu bapa mereka, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, dan Mohd Hardi Mohd Husin, 46, maut selepas MPV dinaiki mereka dihempap lori membawa muatan tar dalam kejadian berkenaan.
Adik kepada arwah Mohd Hardi, Muhamad Ihsan, 30, berkata, dia berdepan kesukaran untuk menyampaikan berita kematian kedua-dua ibu bapa itu kepada anak saudaranya petang semalam.

"Saya berat untuk memberitahu mereka kerana bukan seorang, tetapi kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia. Mereka masih kecil.
"Apabila mendapat tahu, mereka menangis. Mereka masih kanak-kanak, sebab itu mereka menangis. Saya cuba menenangkan kedua-duanya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), malam Ahad.
Menurutnya, pada hari kejadian, pasangan itu keluar bersama anak-anak ke sebuah pasar raya di Yong Peng untuk membeli barangan keperluan bulanan.
"Mereka lebih banyak menumpukan perhatian kepada keluarga, abang bekerja manakala kakak ipar membesarkan anak-anak. Kalau ada urusan penting, barulah mereka sekeluarga keluar berjalan-jalan.

"Biasanya setiap bulan mereka akan berbelanja termasuk membeli barang keperluan untuk anak-anak," ujarnya.
Mengimbas detik menerima berita kejadian, Muhamad Ihsan berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan itu kira-kira jam 1 tengah hari selepas menerima panggilan daripada rakan dan penduduk kampung.
"Apabila melihat mesej dalam kumpulan WhatsApp kampung, saya nampak kereta abang. Saya sangat mengenali kereta itu dan ketika itulah baru saya tahu abang sekeluarga terbabit dalam kemalangan," katanya.

Muhamad Ihsan berkata, dia bersedia memikul tanggungjawab membesarkan kedua-dua anak saudaranya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

