Jurugambar Perancis maut jatuh dari tingkat 68 di Hong Kong

Remi Lucidi - Agensi
Remi Lucidi - Agensi
A
A
A

HONG KONG -Seorang jurugambar Perancis berusia 30 tahun yang terkenal dengan memanjat beberapa menara di seluruh dunia, menemui ajal apabila terjatuh dari aras 68 sebuah bangunan pencakar langit, ketika mengambil gambar.

Daily Mail melaporkan, Remi Lucidi atau dikenali sebagai 'Remi Enigma' dalam media sosial dilaporkan sampai di tingkat 68 pada ketinggian 219 meter di Menara Tregunter, sebuah blok kediaman mewah di Hong Kong.

Lucidi dilihat seorang pembantu rumah yang mengetuk tingkap untuk masuk semula dalam bangunan, bagaimanapun dia terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum bantuan tiba.

Sebelum kematiannya itu, jurugambar itu dilihat tiba di menara pada 7.30 petang (waktu tempatan) dan memberitahu pengawal keselamatan bahawa dia hendak melawat rakannya di tingkat 40 bangunan tersebut.

Rakaman kamera CCTV mendapati Lucidi keluar dari lif di tingkat 49 sebelum menaiki tangga ke bahagian paling atas tingkat 68.

Laporan menambah, dia berjaya membuka pintu atas bumbung menara itu walaupun dikunci.

Sehari sebelum kematiannya, Lucidi pernah menyiarkan gambar bangunan tinggi di Hong Kong menerusi akaun Instagram miliknya. - Agensi