Tidak benarkan bahas isu banjir, Dewan Rakyat kecoh seketika

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sidang Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak membenarkan beberapa ahli Parlimen blok pembangkang dan kerajaan membahaskan isu berkenaan situasi banjir yang melanda negara ketika ini.

Tegas Azhar Azizan, perkara itu tidak boleh dibahaskan memandangkan ia tidak terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelasnya, mengikut AUM, terdapat satu urusan iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342.

"Yang Berhormat maaf. Kita cuma ada satu urusan sahaja mengikut aturan urusan mesyuarat hari ini iaitu RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342.

"Maaflah. Kalau hendak penerangan menteri itu selalunya itu terserah kepada menteri untuk membuat penerangan dengan memberi notis kepada saya bahawa mereka akan membuat penerangan di bawah 14 (1) (i)

"Jadi kita tidak boleh melompat dari satu isu ke satu isu tanpa isu itu berada dalam AUM. Begitu kita buat, begitu kita jalankan meneruskan (sidang) Parlimen," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bangkit meminta supaya Perdana Menteri atau menteri berkaitan memberi penerangan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk segera menangani banjir.

Turut bangkit mempersoalkan perkara sama Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Artikel Berkaitan:

Keengganan Azhar Azizan membenarkan isu berkenaan situasi banjir dibahaskan di Dewan Rakyat mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil antara mereka yang berkongsi kekecewaan berkenaan.

"Tan Sri Speaker enggan benarkan perbahasan tergempar isu banjir, walaupun pembangkang dan penyokong kerajaan mahu penjelasan daripada kerajaan," ciapnya di Twitter pada Isnin.