Bantu rakan baiki kereta sebelum terkorban kemalangan

Nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.
Nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya sempat berbual dengan abang kira-kira pukul 10 malam tadi ketika beliau pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu rakannya yang mengalami kerosakan kereta di jalan raya," kata Muhamad Farhan Rolex.

Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang merupakan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam di sini malam Jumaat.

Beliau berkata bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang meskipun waktu itu sudah pukul 12.30 tengah malam.

“Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Shah Alam pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 maut kemalangan babit tiga kereta, sebuah treler

Kereta dinaiki 9 beranak maut dirempuh treler ketika 'jumper' bateri

Bomba kenal pasti 10 identiti mangsa maut

Muhamad Farhan berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi abangnya yang merupakan seorang mekanik, menghulurkan bantuan kepada pemandu yang kenderaan mereka mengalami kerosakan di jalan raya.

Difahamkan rakan kepada Mohamad Rahimi yang meminta bantuan bagi membaiki kereta Perodua Axianya turut mengalami kecederaan iaitu patah kaki dalam nahas tersebut.

Sementara itu, tinjauan di bilik mayat hospital itu mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai mangsa.

Selain Mohamad Rahimi, nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler itu yang melibatkan 17 mangsa turut mengorbankan seorang wanita dan lapan anaknya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu treler terbabit nahas korban 10 mangsa direman

Artikel Berkaitan: