X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

10 maut kemalangan babit tiga kereta, sebuah treler

Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] 10 maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam pada Jumaat.

Mangsa maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing seorang lelaki serta perempuan dewasa.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam.

Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

"Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua buah kereta Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, seorang lelaki dewasa maut membabitkan sebuah Proton Wira, manakala sembilan maut terdiri daripada seorang perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang menaiki sebuah lagi Proton Wira.

"Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat," katanya.

Jelas beliau, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

"Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

"Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!